SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini meminta kerajaan melindungi hak kebebasan bersuara dengan memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Pihak terlibat turut meminta kerajaan menangani terma ‘kecenderungan menghasut’ serta ‘ucapan kebencian’ sebagai pengecualian terhadap hak kebebasan bersuara.
Menurutnya, hanya ‘ucapan kebencian’ yang berbaur perkauman, keagamaan dan kebencian kepada negara yang wajar disekat.
"Sekatan kebebasan bersuara harus berkadaran dan hanya perlu bagi memenuhi tujuan yang berasas untuk menghormati reputasi pihak lain dan melindungi keselamatan negara, arahan umum, prinsip moral sepertimana yang ditentukan dalam undang-undang.
"Selain itu, kerajaan juga perlu menamatkan penindasan terhadap pendapat kritikal atau keperluan untuk menahan mereka untuk disoal siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Suhakam dalam kenyataan itu turut menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan pihak polis yang menggunakan undang-undang khusus terhadap aktivis, ahli politik, wartawan dan pejuang hak asasi manusia yang melaksanakan hak kebebasan bersuara mereka.
Katanya, hak kebebasan bersuara sepatutnya hanya dihadkan berdasarkan undang-undang setakat mana yang perlu serta berkadaran demi menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.
"Suhakam melihat bahawa Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) dan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan dan juga Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk mengawal, menakut-nakutkan dan melenyapkan kritikan telah mengekang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat,” katanya.
Dalam pada itu, Suhakam turut melahirkan kebimbangan apabila penggunaan berterusan undang-undang tersebut dilihat tidak selaras dengan prinsip hak asasi manusia sebagaimana termaktub dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengenai kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.
Jelasnya, sesiapa yang melaksanakan hak kebebasan tersebut tidak seharusnya diancam dengan sebarang hukuman ataupun intimidasi.
"Suhakam ingin mengingatkan kerajaan bahawa tugas dan tanggungjawabnya adalah melindungi hak kebebasan bersuara selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang menjamin hak rakyat Malaysia untuk kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan, seharusnya sebagai negara yang berdemokrasi,” katanya.