WASHINGTON - Mahkamah Amerika Syarikat (AS) mengesahkan keputusan bahawa bedak talkum yang dijual oleh Johnson & Johnson (J&J) menyebabkan kanser ovari dan memerintahkan syarikat gergasi farmasi itu membayar ganti rugi sebanyak AS$2.1 bilion (RM8.9 bilion) semalam.
Keputusan itu diumumkan selepas Mahkamah Rayuan Missouri mengurangkan lebih daripada separuh ganti rugi bernilai AS$4.4 bilion (RM18.7 bilion) yang diberikan juri kepada 22 orang plaintif pada tahun 2018.
Iklan
Iklan
Mahkamah bersetuju bahawa beberapa plaintif tidak perlu dimasukkan di dalam kes tersebut kerana berasal dari luar negeri.
Keputusan itu menegaskan pemberian ganti rugi oleh syarikat itu yang didakwa dengan sengaja menjual produk yang mengandungi bahan asbestos kepada pengguna.
Bagaimanapun, jurucakap J&J berkata, syarikat itu akan merayu terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Agung Missouri.
Terdahulu, syarikat terbabit menghadapi ribuan tuntutan undang-undang di seluruh AS yang mendakwa ia gagal memberi amaran kepada pengguna mengenai risiko menghidapi kanser dari bahan produk berasaskan talkum itu.
Pada bulan lalu, firma itu mengumumkan akan menghentikan pengeluaran bedak bayi di AS dan Kanada berikutan proses perbicaraan undang-undang di mahkamah yang berterusan terhadap produk tersebut. - AFP