Kelantan United tunggu lampu hijau

Iklan
Zahasmi (kiri) hanya menunggu 'lampu hijau' sebelum kembali bersama anak-anak buahnya menjalani sesi latihan. -Foto FB Kelantan United FC

KETUA Jurulatih Kelantan United FC (KUFC), Zahasmi Ismail menunggu 'lampu hijau' daripada pihak pengurusan untuk kembali menjalani latihan selepas hampir empat bulan ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Zahasmi berkata, ketika ini beliau masih belum menerima sebarang arahan untuk memanggil pemainnya untuk kembali menjalani latihan walaupun kebenaran telah diberikan oleh kerajaan sejak 15 Jun lalu.

Iklan
Iklan

"Saya difahamkan sekarang ini pihak pengurusan sedang melengkapkan beberapa dokumen yang diperlukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum pasukan dibenarkan menjalani latihan.

"Saya sedang menunggu 'lampu hijau' daripada pihak pengurusan. Jika mereka mendapat kelulusan dan mengarahkan pasukan kembali menjalani latihan, saya akan turun padang dengan segera," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Iklan

Kerajaan sebelum ini memberi kebenaran kepada pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) dan sukan lain untuk mengadakan sesi latihan bermula 15 Jun lepas setelah tiga bulan terhenti daripada sebarang aktiviti ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Mengulas lanjut, Zahasmi berkata, buat masa sekarang, pemain diarah untuk menjalani latihan dari rumah sebagaimana yang dilakukan mereka ketika PKP dilaksanakan pada Mac hingga Mei lalu.

Iklan

Pemain masih perlu merekod antara tiga dan empat video latihan dalam masa seminggu yang dijalani mereka kepada barisan kejurulatihan.

"Saya jangka pemain akan kembali menjalani latihan sebenar di atas padang bermula bulan hadapan selepas segala urusan dokumentasi dengan MKN dan FAM diselesaikan oleh pengurusan Kelantan United.

"Kami tidak mahu melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana akan memberikan risiko kepada pemain dan pegawai yang terlibat semasa latihan," katanya sambil menambah aspek kecergasan akan menjadi tumpuan selepas dibenarkan kembali menjalani latihan di atas padang.