Mengenang Subky Latif, seorang guru

Iklan
Subky Latif

SAYA mula mengenali Subky Latif pada Februari 1974, ketika menyertai skim pemberita pelatih Utusan Melayu.

Beliau sudah menjadi wartawan kanan ketika itu, ada bilik sendiri sebagai salah seorang penulis rencana pengarang.

Iklan
Iklan

Sebagai nama besar dalam dunia persuratkhabaran ketika itu, khasnya di Jalan Chan Sow Lin, Subky yang ketika itu masih bujang, menjadi sebutan ramai.

Saya bertuah mendapat latihan terus darinya, juga dari beberapa orang senior lain termasuk Zam (Tan Sri), Azah Aziz dan A R Kamaluddin.

Iklan

Subky tidak mengajar kaedah penulis berita mengikut buku kewartawanan, sebab katanya buku-buku itu tidak semuanya betul.

Tetapi dia memberi petua bagaimana untuk menjadi wartawan berjaya. Antara petuanya – yang saya pegang sampai sekarang:

Iklan

Pertama, menulis mesti dengan fakta, tidak boleh reka-reka. Semak dulu kesahihan maklumat, supaya kita tidak menjadi penyebar fitnah.

"Ini bukan dari buku kewartawanan, tetapi dari kitab Suci Al-Quran,” katanya. Oleh sebab pelajaran agamanya tinggi, saya percaya apa yang dikata.

Kedua, kena banyak membaca kalau hendak menjadi wartawan berjaya. Tetapi saya dapati beliau sendiri pun tidak banyak membaca.

Sampai sekarang saya setuju membaca – apa sahaja buku dan kitab – memang kunci segala ilmu.

Saya sedang di kemuncak kerjaya di Utusan – diberi kepercayaan melakukan tugasan-tugasan penting – apabila satu hari Subky menghampiri meja saya dan bertanya, berapa lama lagi hendak bekerja di Utusan?

Dia mengajak saya meninggalkan Jalan Chan Sow Lin, dan memberi satu lagi petua:"Kalau hendak berjaya, jangan jadi pembodek kerajaan.”

Rupanya dia memang berhasrat untuk meninggalkan Utusan, dan berpakat dengan Chamil Wariya (Datuk Dr) dan Azeem Aras – keduanya wartawan kanan – untuk memujuk saya. Saya mengikut sahaja.

Maka dengan pengaruh Subky kami dan lebih sepuluh orang wartawan, pelukis dan tenaga grafik Utusan, berhenti serentak.

Subky bersama seorang lagi bekas pengarang Utusan, Harun Hassan, menerbitkan mingguan Suara Rakyat, berpejabat di Chow Kit.

Saya masih ingat edisi sulung akhbar berkenaan memakai tajuk ‘Amanat Tun Razak’ hasil temuramah eksklusif Subky dan Chamil dengan Tun, Perdana Menteri ketika itu.

Tentu sekali mingguan tabloid itu membuka mata umum, dan mengejutkan rakan-rakan wartawan di Utusan.

Bagi Subky Suara Rakyat ialah bermulanya era baharu dalam dunia persuratkhabaran yang selama ini dianggap propaganda murahan.

Dia begitu bersemangat dengan akhbar baharunya dan selalu memberitahu saya dan kawan-kawan di Jalan Haji Hussein hasratnya untuk menjadi Lord Thomson, media moghul tersohor itu.

Apa pun tidak sempat menjadi Thomson, Suara Rakyat telah digantung penerbitan, keluaran ke-13, dan menjadi tajuk berita ketika itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati ada unsur menghasut cuba disebarkan oleh Subky menerusi penyiaran surat pembaca yang menyebut gaji anggota tentera terlalu rendah.

Saya percaya Subky pun tidak tahu surat pembaca itu disiarkan. Terbukti itu hanya alasan KDN untuk sengaja mengharamkan mingguan yang berusia baru 13 keluaran.

Ada sebab politik mengapa tabloid itu dipaksa tutup kedai. Masih muda belia saya berasa tertekan apabila polis mengepung pejabat editorial dan kilang percetakan.

Tetapi Subky tenang sahaja dan menegaskan kepada saya:"Kita bertanggungjawab melaporkan kebenaran, ini satu perjuangan.”

Apabila Suara Rakyat tutup kedai saya terkoteng-koteng menganggur beberapa ketika sebelum menyertai beberapa penerbitan lain.

Subky selalu menjadi inspirasi dalam kerjaya saya selama lebih empat dekad ini. Meski tidak lagi membimbing saya seperti di Jalan Chan Sow Lin, dia sering menghubungi saya sebagai seorang rakan wartawan.

Sebenarnya dia banyak mencorakkan minda saya sepanjang yang berhubung dengan dunia persuratkhabaran.

Hatta, pada ketika-ketika tertentu saya terbawa-bawa dan terikut-ikut gaya penulisan beliau yang bersahaja tetapi selalu menyengat itu.

Kali terakhir saya bertemu dengannya pertengahan tahun lalu. Dia datang ke pejabat saya bersama seorang bekas wartawan Utusan, Saudara Abdullah, dan masih mengingatkan saya:"Menulis mesti dengan fakta...”

Saya kehilangan seorang guru!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah.