SHAH ALAM - Pemilik syarikat perancang perkahwinan menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk perkahwinan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 1 Julai ini.
Pemilik butik perkahwinan Farah Rizs Bridal, Farah Lina Ramlan berkata, beliau bersyukur apabila kerajaan kembali membenarkan majlis sosial termasuk majlis perkahwinan dan pertunangan dijalankan walaupun terpaksa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurutnya, sudah tiba masanya pihaknya kembali fokus kepada perniagaan utama yang dijalankan sejak 2011 selepas turut terkesan ekoran pandemik Covid-19.
"Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, sememangnya kami berdepan kesukaran kerana banyak tempahan terpaksa dibatalkan.
"Beroperasi dalam normal baharu tidak memberikan sebarang kesukaran buat kami kerana semua peniaga berdepan situasi sama. Bagaimanapun, bagi pihak butik pengantin kita tidak berdepan dengan kos tambahan kerana kami lebih fokus kepada pelamin, baju dan mekap sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Seorang pengusaha perancang perkahwinan, Badrul Hisham Shapie pula mengakui ramai pengusaha butik perkahwinan sememangnya menunggu keputusan itu setelah hampir tidak dapat menjalankan operasi mereka.
Menurutnya, keputusan itu merupakan peluang keemasan buat mereka untuk kembali memberikan perkhidmatan kepada bakal pengantin dan saranan dengan jumlah 250 tetamu itu juga dilihat bertepatan bukan sahaja kepada keluarga pengantin bahkan juga perancang perkahwinan.
"Malah kos yang dikenakan juga masih kekal pada harga yang sama seperti sebelum ini memandangkan butik-butik pengantin baru memulakan perniagaan.
"Tambahan pula pastinya ramai perancang perkahwinan akan mengeluarkan promosi harga bajet dan mampu milik untuk menarik minat pelanggan selain pakej-pakej yang bersesuaian dengan kemampuan pelanggan,” katanya.
Nada sama turut disuarakan pemilik Dsanding Zurayz, Abdul Rahim Ali yang mengakui akur dengan normal baharu dan SOP yang telah ditetapkan.
Begitupun, katanya, dalam aspek kos pihaknya masih mengekalkan kadar yang sama memandangkan mereka hanya menyediakan persiapan majlis persandingan dan pakaian pengantin.
"Cuma kami sedikit bimbang sekiranya pelanggan hanya mahu menggunakan pakaian baharu sahaja berbanding pakaian sedia yang sememangnya dititikberatkan dalam aspek kebersihan.
"Jadi kalau pengantin mahu persalinan baharu maka harganya akan berbeza, begitu juga dengan hiasan pelamin,” katanya.
Bagi pengusaha ZF Katerer, Zubaidah Hanafi, beliau berkata, pengumuman kerajaan itu adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua pengusaha katering untuk kembali beroperasi seperti sebelum ini.
Menurutnya, dalam tempoh PKP, lebih daripada 10 tempahan melibatkan pelbagai majlis terpaksa dibatalkan dan kini pelanggan mula menghubungi pihaknya untuk membuat tempahan.
"Alhamdulillah, syukur kami diberi peluang untuk bergiat semula dalam penganjuran majlis sosial ini. Kalau dalam tempoh PKP kami hanya dapat menyediakan dalam kuantiti yang kecil tetapi kini kami sudah boleh mengambil tempahan seperti biasa.
"Malah saya juga baru mendapat tempahan daripada pelanggan untuk mengadakan majlis perkahwinan awal Julai ini,” katanya.
Mengulas SOP yang memerlukan pihak katering menyediakan pramusaji pada satu-satu majlis, Zubaidah berkata, perkara itu sememangnya sudah dipraktikkan sebelum ini dan tidak akan memberikan kesan kepada kos yang bakal ditanggung oleh pengguna.
Bagaimanapun, katanya, kos tambahan minimum hanya dikenakan jika memerlukan penambahan pramusaji dalam satu-satu majlis yang diadakan nanti.
Pemilik Impiana Classic Katering, Wan Ahmad Jasri Wan Wan Kamarulzaman pula menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai satu nafas baharu selepas turut terkesan dengan arahan PKP bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.
Selepas pengumuman itu dibuat, katanya, pelanggan sudah mula menghubungi pihaknya untuk mendapatkan tempahan makanan bagi mengadakan majlis perkahwinan dan pertunangan.
"Jadi dengan pengumuman ini kami dapat kembali menawarkan perkhidmatan dengan kapasiti yang penuh berbanding secara kecil-kecilan sepanjang tempoh PKP.
"Walaupun perlu mematuhi SOP dengan menyediakan pramusaji bagi menghidangkan makanan kepada tetamu, namun tambahan kosnya adalah minimum berdasarkan jumlah pramusaji yang diperlukan dalam satu-satu majlis itu nanti. Kosnya juga akan diserap dalam harga jualan,” katanya.