Bekas peguam didakwa pecah amanah wang deposit rumah

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang deposit rumah kedai seorang pelanggan berjumlah RM456,825 tiga tahun lepas.

Haizatul Elia Abd Mutalib, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Datin Sabariah Othman.

Iklan
Iklan

Dia didakwa melakukan pecah amanah itu di sebuah firma guaman di Desa Pandan, Wangsa Maju di sini, pada 8 September 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Julai untuk sebutan semula kes.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub sementara peguam A.Q Saqti mewakili Haizatul Elia.

Di mahkamah sama, seorang bekas pengaturcara komputer mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah.

Iklan

Tan Wee Jun, 28, didakwa telah menerima wang tersebut secara haram tanpa lesen yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di sini, pada 9 pagi, 1 Okt 2016 lepas mengikut Seksyen 137(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh, yang diwakili peguam, Terence Naidu, diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula kes. - Bernama