Empat beradik tak mengaku pecah amanah RM1.8 juta

Iklan
Mimi Khairani berdepan 32 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

IPOH - Seorang bekas eksekutif akaun bersama tiga anggota keluarganya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 100 pertuduhan pengubahan wang haram Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) milik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bernilai lebih RM1.8 juta.

Mimi Khairani Bahrudin, 35, bersama tiga adiknya, Mohd Khairul Asrani, 34; Nur Izyani, 33; dan Muhammad Nur Husaini, 26, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hasaan.

Iklan
Iklan

Mimi Khairani yang sedang hamil lima bulan menghadapi 32 pertuduhan melupuskan wang yang merupakan hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM905,392.

Tertuduh yang bekerja sebagai eksekutif akaun di yayasan itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Tapah antara 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2018 mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Iklan

Adik lelaki Mimi Khairani, Mohd Khairul Asrani pula berdepan 29 pertuduhan di bawah seksyen sama atas kesalahan dilakukan di sebuah bank di Greentown di sini antara 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2018 membabitkan wang lebih RM586,755.

Turut didakwa di mahkamah sama, Nur Izyani dan Muhammad Nur Husaini masing-masing dengan 20 dan 19 pertuduhan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Iklan

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Ipoh Garden di sini antara 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2018 membabitkan wang masing-masing lebih RM155,153.

Mohd Khairul Asrani, Muhammad Nur Husaini dan Nur Izyani turut berdepan pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Kesemua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal sementara keempat-empat tertuduh diwakili Peguam Nor Izawani Ahmad Jalaludin.

Terdahulu, Ahmad Farid menawarkan wang jaminan RM150,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan semua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Nor Izawani dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan jaminan paling rendah memandangkan kesemua tertuduh tidak bekerja dan akaun masing-masing dibekukan sejak lebih setahun lalu bagi tujuan siasatan.

Katanya, tertuduh pertama iaitu Mimi Khairani sedang hamil anak keempat dan adiknya, Nur Izyani pula baharu sahaja disahkan menghidap kanser payudara serta fibroid dan sedang menerima rawatan di hospital.

"Jika jaminan diberikan dalam jumlah yang agak besar sudah tentu keluarga tidak mampu membayar jaminan menyebabkan mereka dihantar ke penjara sedangkan kedua-duanya perlu berada di rumah untuk kesihatan masing-masing," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Mimi Khairani diikat jamin RM400,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin sementara tiga lagi masing-masing dikenakan jaminan RM350,000, RM250,000 dan RM200,000 dengan syarat tambahan semua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan tanpa gagal.

Mahkamah juga membenarkan apa-apa barang yang mempunyai nilai sama untuk dipindahkan bagi tujuan jaminan dan menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.

19 Jun lalu, Mimi Khairani dan suami mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur masing-masing atas tiga dan 20 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang yayasan itu berjumlah RM658,769.19.