Sanggup cagar tanah demi minat

Iklan
Ayub (kiri) bersama Ahmad Maslan di ladang ternakan ayam daging di Kampung Parit Marjunid.

PONTIAN - Menelusuri perjalanan jauh ke Benut melalui kawasan kampung sebelum kenderaan melalui jalan agak sunyi hingga akhirnya sampai ke kawasan ladang ternakan ayam di Kampung Parit Marjunid.

Pemilik ladang Ilham Farming, Ayub Alias, 63, ceria menyambut ketibaan tetamu bersama Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan kemudiannya dibawa meninjau ternakan ayam.

Iklan
Iklan

Ayub merupakan satu-satunya penternak ayam Bumiputera di kawasan Parlimen Pontian yang berjaya.

Menurut Ayub, bukan mudah hendak memulakan ternakan ayam berskala besar biarpun mempunyai kelulusan diploma pertanian.

Iklan

Beliau yang pernah bertugas di Mardi cukup berminat untuk menceburi bidang penternakan ayam kerana potensi cukup besar selain mahu menjadi pembekal makanan.

"Mula-mula baca buku dan pergi kursus, itupun tidak mencukupi. Banyak perkara yang perlu diketahui.

Iklan

"Bukan setakat ayam sahaja, tetapi perlu tahu tentang cara membina reban berskala besar,” katanya.

Dengan berbekalkan semangat dan keinginan untuk maju sekali gus mencapai impian bergelar usahawan ternakan ayam daging berjaya, Ayub mengambil langkah berani bergiat dalam bidang berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

Menyedari modal cukup penting dan tidak mahu soal modal menjadi penghalang, beliau membuat cagaran sebidang tanah dengan pihak bank.

"Hasil cagaran itu saya mendapat RM130,000. Wang itu digunakan untuk menyewa sebuah tanah di Kampung Parit Marjunid.

"Kedudukan tanah yang disewa jauh dari rumah penduduk, ia amat sesuai untuk ternakan ayam daging,” katanya.

Bukan mudah untuk berjaya

Pelbagai rintangan diharungi Ayub pada peringkat permulaan beliau hendak memulakan ternakan ayam daging.

Katanya, dia tidak mengenali sesiapa boleh membantu dirinya memulakan ternakan ayam daging ketika itu.

Lantas beliau mengambil keputusan untuk meminta bantuan dari seorang kenalan yang mempunyai sebuah syarikat pemprosesan ayam di Pontian.

"Rakan saya itu memberi bantuan untuk menternak 6,000 ekor anak ayam. Dari situ saya bermula secara perlahan-perlahan.

"Makanan dan pelbagai keperluan lain diberikan rakan saya itu dan saya menjual hasil ternakan kepadanya,” katanya.

Langkah itu ternyata berbaloi apabila usaha yang dimulakan dengan 6,000 ekor anak ayam pada 2012 kini berkembang sehingga 40,000 ekor anak ayam dengan empat reban berskala besar disediakan bagi menampung kesemua ternakan tersebut.

Malah hasil usaha yang dilaksanakan secara tekun dan berterusan itu membolehkannya menerima pengiktirafan dan bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Gembira lihat kejayaan

Bapa kepada enam orang ini, kini mampu tersenyum melihat hasil titik peluh yang diusahakan selama tujuh tahun membuat hasil yang cukup membanggakan.

Malah Ayub kini bergelar satu-satunya penternak ayam Bumiputera di Parlimen Pontian yang berjaya.

Ayub berkata, ketiadaan bekalan elektrik dan jalan raya menyukarkan beliau memulakan ternakan ayam daging.

"Pada 2012, ketika hendak mulakan ternakan, bekalan elektrik tiada, jalan raya pun masih belum berturap.

"Mujur dengan bantuan kerajaan ketika itu, bekalan elektrik disambung dan kemudahan jalan raya lebih elok dibina di sini,” katanya.

Beliau berharap agar lebih ramai generasi muda menceburi bidang ternakan ayam yang mendatangkan hasil cukup lumayan jika diusahakan bersungguh-sungguh.