KLANG - Seorang pekerja kedai pakaian berusia 22 tahun disyaki hilang oleh keluarganya selepas tidak pulang ke rumah sejak 17 Jun lalu.
Abangnya, Muhammad Aziezi Hamjah, 32, berkata, mangsa, Nuraini Baharom dikatakan keluar dari tempat kerjanya di Petaling Jaya. kira-kira jam 3 petang.
Menurut Muhammad Aziezi kejadian jam 7 malam itu disedari ibu mereka, Masiam Eslah, 59, ketika ingin mengambil Nuraini pulang ke rumah.
"Pada pagi kejadian ibu menghantar Nuraini ke tempat kerja seperti biasa namun terkejut apabila rakan sekerja memaklumkan dia keluar dari kedai pakaian itu sejak jam 3 petang. Kami syak dia dilarikan lelaki tidak dikenali," katanya kepada Sinar Harian.
Muhammad Aziezi berkata, ibunya yang curiga dengan kehilangan itu kemudian menghubungi Nuraini beberapa kali namun gagal.
Katanya, beberapa minit selepas itu, adiknya itu meninggalkan pesanan suara dalam aplikasi WhatsApp yang dihantar kepada ibu memaklumkan ingin ke Seremban.
"Sehingga kini kami buntu mengenai kehilangannya dan rakan sekerja memaklumkan Nuraini menghantar sijil cuti sakit dari sebuah klinik swasta di Seremban," katanya.
Menurut Muhammad Aziezi, berdasarkan petunjuk itu, mereka sekeluarga berusaha mencari dan mengesan Nuraini di Seremban namun sehingga kini masih belum ditemui.
"Kami sekeluarga sudah ke klinik terbabit dan melihat sendiri Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) kelibat adik dengan seorang lelaki tidak dikenali.
"Kami percaya adik saya mungkin dipukau lelaki terbabit kerana sebelum ini dia tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan dan sikap pelik.
"Kami juga tidak berselisih faham kerana adik seorang ceria di rumah selain sifatnya yang pemalu serta pendiam dengan orang yang tidak dikenali," katanya.
Sehubungan itu, katanya ibunya telah membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya pada jam 10.14 malam hari kejadian.
"Saya harap orang ramai yang mengenali dan ternampak adik saya menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.