TUMPAT - Seorang lelaki ditemui mati dengan leher terjerut tali di sebuah rumah kosong di belakang rumahnya di Kampung Pasir Pekan, Tumpat hari ini.
Mayat mangsa yang merupakan buruh berusia 40 tahun itu ditemui isterinya berusia 37 tahun pada jam 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, sebelum kejadian, lelaki tersebut dan isterinya bangun daripada tidur pada jam 5 pagi sebelum lelaki itu kemudian memberitahu isteri untuk keluar merokok.
"Selesai isterinya mandi dan solat Subuh, wanita itu memanggil suaminya tetapi tidak bersahut.
"Isterinya kemudian mencari lelaki berkenaan sehingga ke rumah kosong di belakang rumah sebelum menemuinya dalam keadaan sudah tidak bernyawa," katanya dihubungi Sinar Harian hari ini.
Susulan itu katanya, wanita tersebut mengambil pisau dan memotong tali yang menjerut leher suaminya sebelum memaklumkannya kepada jiran.
Ab Rashid berkata, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan lelaki tersebut sudah pun meninggal dunia.
"Pasukan polis yang tiba di rumah kosong itu kemudian membawa mayat ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat.
"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.