Saya tidak ingin bersama Muhyiddin dan pengkhianatannya, kata Tun M

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak dapat bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwanya telah mengkhianati mandat rakyat.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu turut tampil menjelaskan alasan beliau enggan bekerjasama dengan Muhyiddin walaupun ramai pihak menasihatkannya menyokong dan memberi kerjasama terhadap pemimpin tersebut.

Iklan
Iklan

"Dia bersama dengan saya dan beberapa kawan lain menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khusus untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi.

”Rakyat percaya inilah perjuangan kami dan rakyat beri kemenangan kepada kami bersama parti rakan lain tetapi Muhyiddin bersama dengan ahli UMNO yang masuk Bersatu telah rancang untuk jatuhkan Pakatan Harapan (PH) dan diri kerajaan baharu bersama dengan kleptokrat yang kami telah kalahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Dr Mahathir berkata, baginya ia adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat dan juga rakan dalam PH yang telah menjayakan perjuangan sebelum ini.

"Tanpa PH, Muhyiddin tidak mungkin menang, tidak mungkin jumpa 'pintu belakang',” katanya.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai DAP, Dr Mahathir memberitahu bahawa parti itu tidak diberikan keistimewaan berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, dengan kemenangan 42 kerusi DAP, hanya enam pemimpin parti itu menjawat jawatan sebagai menteri Kabinet, sama jumlahnya dengan Bersatu yang memenangi 13 kerusi selain dipilih sebagai Perdana Menteri.

"Tak mungkin sama sekali DAP kuasai Kabinet dengan enam orang menteri. Segala keputusan dalam Kabinet perlu persetujuan 28 orang menteri. Anggapan bahawa enam menteri Kabinet boleh kuasai 22 menteri lain tidak masuk akal,” katanya.

Dr Mahathir berkata, DAP juga tidak boleh menghancurkan orang Melayu sebaliknya orang Melayu yang boleh menghancurkan DAP jika Menteri Dalam Negeri yang berbangsa Melayu mengambil tindakan membatalkan pendaftaran parti itu.

"Kuasa membatal (pendaftaran parti) ada pada Muhyiddin, jika ia nampak DAP akan hancur Melayu tetapi yang Muhyiddin berminat ialah mengguna DAP untuk menakut orang Melayu supaya mereka menyertai gerakan untuk jatuh PH dan dia menjadi Perdana Menteri dengan sokongan UMNO dan Pas,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berpandangan bahawa UMNO menyokong Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri supaya usaha untuk melepaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari dipenjarakan dapat dilakukan.

Bekas Perdana Menteri itu juga tidak menolak UMNO kelak akan menjadi lawan Bersatu.

"Sejarah akan catat pengkhianatan Muhyiddin kepada rakyat yang telah beri kemenangan kepada PH.

"Saya tidak ingin bersama dengan Muhyiddin dan pengkhianatannya,” katanya.