Hasilkan benih tanaman tropika berkualiti

Iklan
Wan Rosdy (kanan) diiringi Kim Aik (kiri) melihat produk dan biji benih yang dihasilkan oleh GWG.

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pahang melancarkan Projek Global Tropical Seeds Research Park (GTSRP) Sungai Pohoi, Mukim Hulu Lepar, Gambang bernilai RM400 juta bagi membangunkan pusat sehenti kecemerlangan dan pembangunan benih tanaman tropika di negara ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek bernilai RM400 juta itu dibangunkan di atas kawasan seluas 1,109 ekar dan akan bermula pada Julai depan hasil kerjasama syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).

Iklan
Iklan

"Pada Mei lalu, Perbadanan Setiausaha Kerajaan telah memeterai perjanjian dengan GWG di Bangkok, Thailand. Ini bermakna, syarikat tersebut secara rasmi memindahkan pusat penyelidikan mereka di Chiang Mai ke Pahang.

"Jika sebelum ini mereka menjual dan mengeksport biji benih tanaman tropika ke seluruh dunia termasuklah Malaysia tetapi kali ini ia berada di Pahang sekali gus memberi manfaat kepada sektor keselamatan 'food security' negara," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Global Tropical Seeds Research Park (GTSRP) Sungai Pohoi, Mukim Hulu Lepar, Gambang di sini semalam.

Katanya, penghasilan biji benih yang bagus akan memberi impak positif terhadap penghasilan produk pertanian sekali gus turut memberi manfaat kepada petani.

Iklan

"Kalau kita lihat hasil padi di Rompin, Pahang dengan Sekinchan, Selangor atau di Kedah cukup berbeza. Di Rompin satu ekar tanah hanya menghasilkan dua tan padi berbanding di Sekincan sekitar 12 tan sebab itu orang tidak berminat untuk menanam padi di sana.

"Pada saya, perbezaan ini pertamanya disebabkan oleh faktor benih padi itu sendiri selain daripada faktor tanah sebab itu perkara pertama kita perlu fikirkan ialah mendapatkan benih berkualiti yang sesuai dengan keadaan negara kita," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, bagi permulaan projek ini, sebanyak 100 peluang pekerjaan diwujudkan dan ia akan bertambah dari masa ke masa selain bakal menggalakkan lebih ramai rakyat menceburi bidang pertanian kerana pulangannya lumayan.