KETUA jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jeganathan menyasarkan lebih ramai atlet para kebangsaan layak secara merit ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang ditunda ke tahun hadapan susulan penularan pandemik Covid-19.
Setakat ini, empat atlet para - Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh F20) dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) - telah layak ke Paralimpik Tokyo selepas memenangi pingat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai.
"Setakat ini, saya masih menunggu kalendar kejohanan 2021 daripada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang dijangka dikeluarkan pada November dan Disember ini sebelum menentukan kejohanan mana yang akan disertai oleh atlet olahraga para kebangsaan.
"Sekiranya ada kejohanan domestik dibenarkan diadakan pada tahun ini tidak kira untuk atlet para mahupun normal, saya akan menghantar atlet kita sebagai medan pendedahan sebelum menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa pada awal tahun hadapan,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Dalam pada itu, Jeganathan berkata, sembilan atlet olahraga para kebangsaan telah menyertai kem latihan pusat Road to Tokyo (RTT) 2020 sejak 8 Jun lepas di Bukit Jalil, dengan fokus meningkatkan kekuatan otot, selain latihan lasak bagi membantu mereka kembali ke prestasi terbaik.
Beliau memaklumkan kesemua mereka akan diberi rehat selama beberapa hari setelah kem latihan RTT berakhir pada 30 Jun ini, sebelum meneruskan sesi latihan di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan pada awal bulan depan.
"Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu telah memberi kesan pada prestasi skuad olahraga para negara, dan fokus saya ketika ini adalah proses conditioning memandangkan prestasi mereka berada sekitar 40 peratus daripada prestasi asal.
"Walaupun kerajaan melaksanakan PKP, namun saya bersama jurulatih lain termasuk Syahrul Amri Suhaimi dan Faizul Haron tetap memantau latihan kesemua atlet para negara menerusi sesi video.
"Latihan tetap akan diteruskan di rumah masing-masing walaupun mereka diberikan cuti pendek untuk berehat bersama keluarga masing-masing,” jelas Jeganathan. - Bernama