Nekad tinggalkan kerjaya guru, Anas fokus bangunkan syarikat kongsi kebaikan susu kambing Khalish

Iklan
Anas optimis permintaan susu formula berasaskan susu kambing miliki potensi cerah.
MENINGGALKAN kerjaya sebagai seorang pendidik demi penuhi keinginan menjadi usahawan, bukanlah perkara mudah jika tiada minat dan hala tuju dalam perniagaan dijalankan. Bagi bekas guru, Anas Che Mat Hadzer yang kini merupakan Pengarah Urusan SK Rich International Sdn Bhd, keputusan meninggalkan kerjaya sebelum ini adalah perkara sukar dilakukan.

Namun, hasratnya mahu berkongsi dan membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan menyebabkannya nekad meninggalkan kerjaya perguruan biarpun ditentang keluarga.

"Saya tak ambil masa lama berjinak-jinak dalam perniagaan kerana yakin dengan potensi perniagaan berasaskan susu kambing. Malah, pengalaman ahli keluarga yang amalkan susu kambing dan peroleh kesan baiknya menyebabkan saya mahu kongsi khasiatnya dengan orang lain yang ada masalah kesihatan," katanya.

Jelasnya, dia mengetahui khasiat susu kambing apabila anak sulungnya kerap sembelit dan demam menyebabkannya melakukan pelbagai usaha dalam ikhtiar penyembuhan.

"Saya gunakan pelbagai susu. Akhirnya saya gunakan susu formula berasaskan susu kambing. Alhamdulillah, anak saya tidak sembelit dan mempunyai antibodi yang kuat.

"Isteri saya pula amalkan minum susu kambing ketika hamil dalam masa sama menyusukan anak kedua kami. Alhamdulillah, anak kami membesar sihat dan memiliki otak cerdas,” katanya.

Tambahnya, selain mahu membantu, dia juga mahu beri kesedaran kepada orang ramai bahawa susu kambing miliki lebih banyak khasiat berbanding susu lembu.

Setelah itu katanya, pada 2014 beliau mula melakukan kajian dan penyelidikan sebelum ambil keputusan perkenalkan susu kambing bertujuan bantu ibu dan anak-anak yang ada masalah meminum susu formula selain susu kambing.

Yakinkan pelanggan

Katanya sebagai permulaan, susu kambing di bawah jenama Khalish mempunyai tiga kategori yang mana ia sesuai untuk kanak-kanak, ibu hamil dan ikhtiar hamil.

"Khalish diformulasikan dari susu kambing, koko dan kurma yang diambil daripada kajian saya sendiri terhadap masyarakat Arab yang gemar minum susu kambing bersama koko dan kurma. Ia mampu beri pelbagai khasiat kepada mereka yang amalkannya,” katanya.

Pada peringkat permulaan katanya, beliau berdepan pelbagai cabaran antaranya sukar yakinkan pengguna dan mengubah persepsi masyarakat untuk amalkan susu formula berasaskan susu kambing.

"Namun Alhamdulillah, dalam beberapa bulan selepas itu Khalish berjaya catat jualan memberangsangkan dan perniagaan semakin maju," katanya.

Tambahnya, pada awal pelancaran Khalish hanya mempunyai 20 ejen, kini meningkat 800 ejen di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura serta mempunyai 700 Khalish Dealer selain boleh didapati di lebih 400 outlet.

Namun, kejayaan dicapai berdepan ujian apabila Khalish berdepan masalah pengeluaran dan kawalan kualiti kerana pengurusan menganggap Khalish sudah dikenali dan tidak mungkin masalah demikian berlaku.

"Perniagaan catat kerugian dan saya perlu buat pembaharuan. Saya rangka semula perniagaan Khalish dan bermula dari bawah pada tahun lalu.

"Saya cari kilang yang boleh menepati citarasa Khalish menerusi kajian pembangunan dan penyelidikan. Beberapa perkara saya utamakan antaranya pembungkusan baharu bagi menjadikan Khalish miliki identiti tersendiri," katanya.

Fokus pemasaran

Meskipun berdepan cabaran ekonomi tidak menentu kebelakangan ini, jualan Khalish menunjukkan peningkatan positif dan ia meyakinkan Anas untuk giat kukuhkan kedudukan Khalish sebagai peneraju susu kambing dalam pasaran tempatan.

"Khalish sasar pertumbuhan jualan meningkat 10 peratus dengan jualan keseluruhan 400,000 kotak tahun ini berbanding 2018. Peningkatan ini dipacu iklan di media sosial dan media perdana serta penyertaannya dalam pelbagai karnival di seluruh negara. Khalish juga akan tembusi pasaran global antaranya Thailand dan Timur Tengah menjelang pertengahan tahun ini," katanya.

Jelasnya, kini Khalish mempunyai empat rangkaian produk iaitu dua produk susu formula, produk minda berasaskan susu kambing dan Khalish Coffee Robusta yang akan akan dilancarkan Mac nanti.

Saingan susu formula

Ditanya mengenai persaingan susu formula dalam pasaran, Anas optimis permintaan susu kambing akan meningkat setelah orang ramai menyedari kebaikannya.

"Untuk beri kesedaran mengenai kebaikan susu kambing, Khalish telah menghasilkan video dan mengadakan 'home party' untuk mendekati ibu bapa yang tinggal di luar bandar.

"Saya yakin dengan pemasaran terbaik, penjenamaan semula dan penambahbaikan dari segi pembungkusan, Khalish menjadi pilihan bukan sahaja masyarakat Melayu malah bangsa lain juga," katanya.

Jelasnya, susu kambing yang diimport dari Belanda itu adalah material asli dan dijadikan serbuk tepung, tidak hamis. Formula digunakan tidak manis, tidak berbau dan tanpa bahan kimia.