DSM komited lahirkan usahawan digital, optimis tembusi pasaran global

Iklan
Dari kiri: Kamarunnizam, Mokhtar dan Saouqie pada majlis DSM bersama usahawan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Syarikat e-dagang, Digital Souq Mall Sdn Bhd (DSM) mengunjurkan 1,000 vendor terdiri daripada usahawan tempatan untuk pasarkan produk telekomunikasi berasaskan teknologi digital edarannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DSM, Datuk Saouqie Mahmood berkata, setakat ini DSM mempunyai 300 usahawan, kini mengikuti latihan dan mempelajari teknologi pembuatan produk digital di kilang pengeluar terletak di China.

"Sasaran itu mampu dicapai berikutan permintaan tinggi terhadap produk berasaskan teknologi digital termasuk gajet dan telefon pintar. Kami sasarkan usahawan terlibat ialah golongan belia di bawah usia 40 tahun.

"Golongan Bumiputera bukan sahaja sebagai pengguna teknologi terkini tetapi terlibat secara langsung dengan masuk ke dalam industri ini. Kami juga sasar untuk tawarkan usahawan tempatan mempunyai produk digital jenama sendiri secara OEM,” katanya pada majlis DSM bersama usahawan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Operasi, Kamarunnizam Kamarulzaman dan Ahli Lembaga Pengarah DSM, Mokhtar Rashiqi Musa Al Hafiz.

Saouqie berkata, DSM memulakan operasinya secara atas talian pada November 2018 dan menjangkakan mempunyai platform beli-belah fizikal berpusat di Kuantan, Pahang dengan nilai pelaburan RM20 juta.

"Ia akan beroperasi pada Mac ini. Kami pilih Kuantan untuk merancakkan sektor ini di bahagian pantai timur. Ia memberikan pendedahan dan peluang kawasan tersebut ambil bahagian dalam revolusi industri 4.0 sebelum diperluaskan ke negeri lain,” katanya.

Tambahnya, untuk kukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, DSM telah memeterai perjanjian dengan pengeluar peranti pintar Elephone di China melibatkan tiga model telefon pintar iaitu A4 Pro 3D, P11 3D dan A5 3D yang mengaplikasikan teknologi paparan tiga dimensi.

"DSM juga merancang menjadi pemain utama dalam penyelesaian dan pengedaran peranti di Asian dan mengembangkannya ke Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika," katanya.