PEKAN - Penduduk di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menaruh harapan tinggi supaya isu perumahan generasi kedua dapat diselesaikan segera.
Peneroka Chini 3, Mohd Salleh Ishak berkata, salah satu projek perumahan tersebut adalah di Felda Chini 3 yang telah pun memulakan pembinaannya sebelum ini, namun malangnya projek tersebut kini tergendala.
Tinjauan Sinar Harian mendapati tidak sampai 30 unit rumah telah dibina walaupun projek tersebut melibatkan pembinaan 150 unit rumah teres.
"Status pembinaan 150 unit rumah teres Perumahan Generasi Kedua di Felda Chini 3 masih menjadi tanda tanya penduduk di sini.
"Ia tergendala dan ada satu lagi di Taman Lamanda yang sudah siap tapi tak dapat diduduki kerana tidak lulus pinjaman.
"Saya harap kerajaan dapat mencari usaha untuk mempercepatkan pembinaan supaya rumah ini dapat diduduki begitu juga pihak bank agar dapat beri kelonggaran bagi kelulusan pinjaman rumah," katanya ketika ditemui di sini.
Beliau turut berharap Felda memberi kebenaran dengan membantu anak peneroka membina rumah di atas tanah ibu bapa mereka yang juga peneroka.
"Masih ada ruang lagi di belakang rumah. Maka anak-anak peneroka mendapat kediaman sendiri," katanya.
Generasi kedua Taman Lamanda, Abdul Latif Abdullah berkata, beliau turut berdukacita dengan nasib rakan-rakan generasi kedua yang menaruh harapan tinggi untuk menduduki rumah sendiri.
Bagaimanapun katanya, ramai yang berdepan masalah tidak lulus pinjaman dan beliau sendiri terpaksa mengeluarkan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan membeli secara tunai.
"Dulu apabila buat projek rumah generasi kedua ini katanya untuk anak-anak peneroka dan kalau tak ada slip gaji pun boleh beli.
"Apabila rumah dah siap rupanya tak lulus pinjaman bank, kena ada slip gaji juga. Maka ramailah yang sangkut dan tak lepas pinjaman," katanya.