Sepanjang pandemik koronavirus (Covid-19), nama konglomerat Institut SAS (SAS) jadi sebutan. Ramai menyanjung SAS kerana berjanji akan mengekalkan pekerja sekalipun ramai konglomerat lain berdepan situasi kewangan tidak menentu. Mungkin ada nilai kemanusiaan boleh dipelajari daripada SAS yang telah dinobatkan oleh Fortune sebagai 'Syarikat No. 1 Terbaik’ dan ‘Syarikat Terbaik Untuk Bekerja’.
Laporan pasukan media editorial unik terkemuka dunia inovasi teknologi, kejuruteraan reka bentuk dan kepemimpinan, Fast Company (fastcompany.com) menyebut Institut SAS memotivasi pekerja dengan menetapkan standard tempat kerja berdasarkan kaedah motivasi intrinsik dan ekstrinsik (intrinsic and extrinsic motivational methods).
Intrinsik motivasi menghargai pekerja secara peribadi. Ekstrinsik pula memberi ganjaran dan menghindarkan kaedah hukuman. Bagi SAS, istilah pembuangan pekerja sangat tabu. SAS sentiasa menyemai perasaan sayangkan pekerjaan dalam kalangan kakitangan. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SAS, Jim Goodnight berkongsi falsafah membina empayar syarikat dengan memperaga kehebatan bekerja berdasarkan ganjaran.
Falsafah SAS jelas bertepatan dengan ingatan ALLAH dalam Surah Yunus ayat 26-27 bermaksud,"Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; Dan orang-orang yang mengerjakan kejahatan (mendapat) balasan yang setimpal dan mereka ditutupi kehinaan. Tidak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) ALLAH, seakan-akan muka mereka ditutupi dengan kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Mereka itulah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”
Tatkala banyak konglomerat di seluruh dunia tumbang satu demi satu gara-gara Covid-19, SAS mengukuhkan kedudukannya dalam `100 Syarikat Terbaik Dunia’. SAS menubuh Pusat Penjagaan Kesihatan kepada pekerja mereka. Mei lalu, dunia meramal SAS akan kerugian buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun sejak 1976. Sebahagian besar daripada 13,000 pekerja SAS telah mula mengubah orientasi pekerjaan. Seramai 5,500 pekerja SAS di ibu pejabatnya di Cary, North Carolina, Amerika dibenarkan berehat di rumah sehingga awal Jun. SAS turut mengekalkan semua faedah untuk kakitangannya termasuk pengasuhan anak, pembelajaran teknologi alam maya dan latihan dalam talian. Sebagai rekod, SAS memperoleh pendapatan tahunan lebih US$2.8 bilion (RM12 bilion) sejak 2012 sehingga sekarang.
Cabaran pasca Covid-19 jelas terarah kepada pemulihan ekonomi dunia. Di Malaysia pula, ada syarikat sudah mula mengambil langkah berwaspada dan cuba memperkenal Skim Pemisahan Sukarela (VSS). Ramai kehilangan pekerjaan. Antara cabaran dihadapi kerajaan pula ialah merangka tindakan segera termasuk perancangan jangka pendek terhadap pemulihan bilangan pengangguran disebabkan pembuangan pekerja, meningkatkan kemahiran modal insan serta peningkatan prasarana digital (digital infrastructure) dan alam sekitar hijau (green environment).
Apabila dunia dicengkam keruntuhan ekonomi pada lewat tahun 2000, penulis bertemu seorang sahabat lama yang dalam sekelip mata, hilang punca pendapatan. Sebagai ketua keluarga, beliau hilang punca pendapatan secara tiba-tiba. Situasi yang sama sedang berlaku di Malaysia ketika ini. Pada Syawal yang lalu, ramai kehilangan sumber pendapatan gara-gara perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ramai mengambil tindakan drastik dan ada yang sanggup mengenepikan ego dengan menjadi `budak penghantar makanan’. Jelas sekali, kelangsungan hidup boleh menyebabkan manusia sanggup melakukan apa sahaja. Penulis percaya penangan Covid-19 menyebabkan syarikat mula membuang atau memotong gaji pekerja.
Penulis percaya syarikat di Malaysia perlu meniru SAS. Cuma apa yang berbeza ialah SAS tidak dicengkam masalah kewangan atau bebanan hutang. Pendirian SAS jelas bertepatan dengan al-Quran Surah Al-Jumu’ah ayat 5 bermaksud"Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat ALLAH itu. Dan ALLAH tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.”
*Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institusi Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor