Hartanah pusaka sukar diwarisi, pemilik harta gagal rancang harta ketika hidup

Iklan
Norisah
HARTANAH terbiar dan masih di atas nama si mati banyak berlaku kerana sikap 'tidak apa' dan tidak peduli apabila berlaku kematian boleh menyebabkan pelbagai masalah sehingga berlakunya isu perebutan pusaka.

Harta pusaka terbiar tanpa dituntut waris bukan isu asing dalam kalangan masyarakat. Malah, kegagalan merancang harta Islam semasa hidup punca masalah hartanah sukar diwarisi.

Pakar Perancang Harta Pusaka Islam As Salihin Trustee Berhad, Norisah Ibrahim berkata, sejumlah RM66 bilion harta pusaka umat Islam tidak dituntut, malah harta pusaka khusus rumah dan tanah dibiarkan bertahun-tahun tanpa diurus.

Menurutnya, bukan tiada waris tetapi pelbagai isu timbul apabila berlaku kematian dan seorang demi seorang waris meninggal dunia. Jumlah waris yang berhak ke atas pusaka semakin bertambah lalu menjadikan jalan penyelesaian semakin rumit.

"Akhirnya harta pusaka si mati terbiar, akibat kurang pemahaman membuat perancangan awal semasa hidup. Sikap tidak peduli menjadikan segala penat lelah mengumpul harta semasa hidup, jadi sia-sia tanpa dapat diwarisi," katanya.

Menurutnya, kisah pertikaian pusaka sering didengari dan lihat umpama kisah dalam filem atau drama.

"Apakah situasi ini benar berlaku dalam masyarakat kita? Itulah kisah realiti yang terjadi kerana tiada ilmu perwarisan. Malah, isu perebutan harta pusaka terus berlaku di zaman moden ini," katanya.

Rancang pengurusan harta

Norisah berkata, jika bimbang kesusahan anak-anak yang kehilangan ibu bapa atau isteri kehilangan suami, pengurusan harta perlu dirancang dengan baik.

"Bagaimana waris-waris boleh mengurus hartanah si mati, jika si mati tidak meninggalkan wasiat? Perancangan harta Islam semasa hidup memudahkan urusan pentadbiran harta pusaka.

"Umat Islam dituntut buat perancangan harta dengan sediakan dokumen wasiat semasa hidup kerana ia memudahkan urusan pentadbiran pusaka si mati sekali gus elak pertikaian pusaka," katanya.

Jelasnya, apabila berlaku kematian dan si mati tidak meninggalkan sebarang dokumen wasiat, langkah yang perlu diambil adalah mengumpulkan semua dokumen aset si mati.

"Pertama, waris perlu senaraikan harta si mati termasuk hutang-piutang (dunia dan akhirat), belanja pengebumian si mati dan jenis harta ditinggalkan termasuk harta alih dan harta tidak alih.

"Harta alih seperti simpanan tunai, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji, saham, motosikal, kereta, takaful dan lain-lain. Harta tidak alih pula seperti tanah dan rumah," katanya.

Yang kedua katanya, waris perlu kenal pasti siapakah waris faraid yang berhak ke atas harta si mati. Secara asasnya, waris faraid utama adalah bapa, ibu, suami atau isteri, anak lelaki dan anak perempuan.

"Ketiga, berbincang dan melantik salah seorang waris faraid sebagai pentadbir mengurus pusaka. Pentadbir yang dilantik boleh buat permohonan pembahagian harta pusaka.

"Pembahagian harta pusaka terbahagi kepada dua iaitu harta pusaka kecil dan harta pusaka besar," katanya.

Ramai anggap tak penting

Norisah berkata, segelintir masyarakat anggap merancang perwarisan harta Islam semasa hidup tidak penting kerana kurang kesedaran dan pemahaman merancang harta awal semasa hidup. Mereka anggap anak-anak ada untuk uruskan harta pusaka kelak.

"Sikap ambil mudah dan hanya serahkan waris untuk uruskan harta pusaka ini berlaku kerana ramai anggap ia tidak penting. Malah, ada persepsi bahawa hanya orang kaya perlu merancang harta," katanya.

Jelasnya, masalah hartanah terbiar lama dan tidak dituntut malah sukar diselesaikan berlaku kerana wujud pertikaian di antara waris.

"Waris enggan bekerjasama akibat pertelingkahan yang mungkin wujud sebelum atau selepas kematian serta perasaan tidak puas atau ingin bolot sendiri harta si mati.

"Ada juga juga waris anggap urus pusaka ini remeh dan mereka tidak tahu bagaimana nak urus harta pusaka. Mereka bergaduh untuk tentukan siapa yang layak mentadbir pusaka. Malah, tiada kesepakatan melantik siapa yang layak mentadbir pusaka si mati.

"Berlaku juga waris yang tak tahu cara memulakan proses harta pusaka dan tiada pengetahuan dari segi undang-undang dan hukum menguruskan harta pusaka," katanya.

Perlu urus segera

Katanya, tindakan melambatkan pengurusan harta pusaka beri pelbagai impak kepada ramai pihak.

"Antara kesan dari segi hukum, ia boleh menyebabkan waris terjebak memakan harta secara batil, harta yang bukan hak mereka secara sedar ataupun tidak.

"Bagi si mati yang meninggalkan anak-anak, harta ditinggalkan adalah harta anak yatim. Jika tidak diuruskan segera, mungkin berlaku perbuatan memakan harta anak yatim," katanya.

Malah tegasnya, jika tidak diuruskan segera harta si mati, ia akan menyebabkan waris tidak menunaikan hak si mati seperti hutang-piutang dan pesanan si mati.

Memberitahu lanjut, katanya, ini bukan perkara remeh kerana turut beri kesan besar terhadap undang-undang dan ekonomi.

"Hartanah terbiar tidak terurus, akhirnya cukai meningkat. Pemilikan ke atas hartanah semakin ramai dan merumitkan. Proses uruskan hartanah semakin rumit apabila waris semakin ramai dan tiada pemuafakatan. Ia juga menyebabkan transaksi hartanah gagal dijalankan malah tidak boleh dibangunkan dan dimajukan untuk tujuan pembangunan selagi waris tidak menguruskan harta mengikut undang-undang dan didaftar atas nama waris sepatutnya," katanya.

Tiada jalan pintas

Tegasnya, umat Islam tidak boleh anggap harta akan diagih secara automatik kepada waris. Hakikatnya, waris perlu lalui kesukaran iaitu proses pentadbiran, pelantikan wasiat yang amanah, dokumentasi harta pusaka dan lain-lain.

"Kita perlu fahami ilmu perwarisan kepada waris lain. Waris akan tahu berapa hak mereka ikut syarak dan dapat elak waris mengambil atau memakan harta yang bukan hak mereka," katanya.

Jelasnya, ramai orang anggap dirinya tidak berharta, sedangkan memiliki sebuah rumah, kereta, polisi insurans, KWSP, simpanan tabung haji dan lain-lain.

"Harta sedikit atau banyak tetap beri kesan kepada waris apabila pemilik meninggal dunia. Kita perlu bermuafakat kerana pertikaian dan pertelagahan antara waris si mati menyukarkan urusan penyelesaian harta pusaka," katanya.

Tambahnya, perancangan harta Islam yang dibuat semasa hidup memudahkan proses pentadbiran sekali gus mengelakkan pertelingkahan waris-waris berebut harta si mati.

"Melalui perancangan harta yang lengkap dan sempurna, kita dapat pastikan harta yang dikumpul semasa hidup dapat dibahagi kepada keluarga tersayang, hutang-piutang dilunaskan dan kebajikan anak-anak bawah umur terbela," katanya.Harta Pusaka

Harta alih dan tidak alih bernilai dibawah RM2 juta: Permohonan pembahagian pusaka kecil boleh dibuat di pejabat pusaka kecil

Harta alih yang nilainya RM600,000 dan ke bawah: Permohonan pembahagian harta pusaka boleh dibuat terus di Amanah Raya Berhad

Pusaka besar: Permohonan tuntutan harta pusaka untuk harta alih dan tidak alih bernilai melebihi RM2 juta boleh dibuat di mahkamah tinggi