IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, S Sivasubramaniam umum masuk Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) selepas hampir 23 tahun bersama DAP.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Sivasubramaniam dalam satu sidang akhbar di Wisma Gerakan Perak di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Menurut Sivasubramaniam, keputusan itu dibuat kerana merasakan perjuangan DAP tidak lagi berpaksi kepada pentadbiran yang mengutamakan kebajikan rakyat.
Katanya, 22 bulan campur tangan DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah di Perak disifatkan terlalu parah apabila masyarakat diabaikan dan hanya berpaksi kepentingan diri.
"Keadaan sebenarnya terlalu pahit, demokrasi dalam DAP dikawal oleh satu dua orang yang berkuasa, mengenepikan kesuburan demokrasi itu sendiri.
"Maka keputusan saya melepaskan keahlian DAP adalah tepat dan berasaskan kebajikan rakyat kawasan, saya bertanggungjawab kepada mereka dan rela mengorbankan segala kepentingan yang ada demi melindungi pengundi saya," katanya.
Sivasubramaniam yang menyertai DAP pada 1997 bertanding sebagai calon parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong sejak pilihan raya umum 2004 dan memenangi pilihan raya bagi tiga penggal berturut-turut.
Beliau berkata, selepas membuat keputusan keluar DAP, Mac lalu pihaknya tidak berhasrat menyertai mana-mana parti, namun selepas dua bulan terdapat ahli yang mahu mengetahui hala tuju sebenar perjuangannya bersama rakyat.
"Gerakan akan menjadi wadah baharu perjuangan saya, selepas ini 21 cawangan DAP di kawasan Buntong yang tidak berpuas hati dengan corak politik parti itu akan turut menyertai Gerakan.
"Kita akan gunakan platform Gerakan untuk pastikan perkhidmatan membantu rakyat tidak tergendala dan selalu turun padang," katanya.
Dalam masa sama, Sivasubramaniam memberi jaminan tetap menyokong penuh kepimpinan kerajaan negeri sekarang di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
"Mungkin selepas saya, ada lagi beberapa wakil rakyat DAP akan lakukan perkara sama (keluar parti), kita tunggu dan lihat," katanya tanpa menyatakan siapa yang dimaksudkan dengan jelas.
Dalam pada itu, Dominic Lau berkata, penyertaan bekas ADUN DAP itu menjadi bukti, perjuangan parti yang ditubuhkan sejak 52 tahun itu adalah relevan.
"Keahlian dalam Gerakan sama sekali bukan berasaskan agama, kaum ataupun bangsa. Pendirian dan perjuangan kita adalah untuk menegakkan demokrasi dan membenarkan hak-hak terhadap semua rakyat.
"Saya percaya YB Siva bersama ahlinya juga bersetuju dengan perjuangan kita lalukan dan kerana itulah memilih parti ini untuk meneruskan aspirasi rakyat yang diperjuangkan," katanya.