KOTA BELUD - Kumpulan Abam Botak yang terkenal kerana menawarkan perkhidmatan van jenazah di kawasan pedalaman Sabah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di simpang Kampung Tambatuon, Kota Belud malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam mengakibatkan dua krunya mengalami cedera ringan.
Pengasasnya, Yunizam Yusop, 32, berkata, sebaik menerima panggilan dari kru yang terlibat, beliau dan rakannya bergegas ke Kota Belud untuk melihat keadaan mereka.
"Semasa kemalangan, saya berada di Sandakan manakala mereka dalam perjalanan pulang daripada urusan menghantar jenazah dari Sandakan ke Kampung Kuala Abai, Kota Belud.
"Syukur, Alhamdulillah, mereka hanya cedera ringan dan keadaan kereta remuk di bahagian hadapan dan tepinya," katanya kepada Sinar Harian.
Kemalangan pertama kali itu tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan perkhidmatan van jenazah secara percuma yang bermula sejak Oktober 2018.
"Sebelum ini kami hanya berdepan masalah kerosakan sahaja dan tidak menjangkakan dugaan sedemikian akan menimpa kami.
"Memang agak terkejut, namun ia bukan pematah semangat kami untuk meneruskan khidmat ini. Insya-ALLAH akan menjadi pendorong kami untuk terus kuat.
"Kami juga berharap masyarakat mendoakan kesejahteraan kami supaya dapat meneruskan khidmat membantu waris individu yang meninggal dunia," katanya.
Dalam pada itu, Yunizam yang turut dikenali Abam Botak memohon maaf kepada orang ramai sekiranya pasukannya ada melakukan kesilapan.
Yusnizam pernah tular di laman sosial Facebook kerana membantu menghantar mayat beragama Kristian ke Kampung Keramuak, Tongod, kira-kira 150km dari sini, September lalu dan pelbagai aktiviti kebajikannya hingga menarik perhatian ramai.