Singapura benarkan solat Jumaat, solat jemaah di masjid

Iklan
Solat Jumaat berjemaah itu diadakan dengan maksimum 50 jemaah bagi setiap sesi di setiap masjid. Foto: 123RF

SINGAPURA - Ketika Singapura memasuki minggu kedua Fasa Kedua pembukaan semula hari ini, masjid di negara itu telah dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah harian, selepas ia dihentikan sejak 13 Mac lalu sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Tinjauan di kawasan Masjid Sultan di Kampung Glam sewaktu solat Jumaat hari ini mendapati, beberapa kakitangan telah bersedia untuk menerima jemaah di Pintu 3 masjid itu, sebelum azan Zuhur berkumandang.

Iklan
Iklan

Di pintu masuk juga terdapat satu notis, 'Bersama Menangani Covid-19. Selamat Datang ke Masjid Sultan. Pembukaan Selamat'.

Solat Jumaat berjemaah itu diadakan dengan maksimum 50 jemaah bagi setiap sesi di setiap masjid.

Iklan

Dalam khutbah untuk seluruh masjid di seluruh negara itu bertajuk"Bersyukur dan Bersabar” (oleh Ustaz Ammar Yasir Mohamed Fatris) kendengaran berkata:"Begitu juga banyak langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang perlu diambil oleh anda yang hadir.

"Ini adalah di antara penyesuaian yang penting, kerana kita masih lagi perlu menjaga keselamatan. Kita juga akur ramai lagi yang berhalangan buat masa ini untuk menunaikan solat Jumaat. Marilah kita terus tabah dan bersabar menghadapi ujian dan kepayahan.

Iklan

"Teruskanlah usaha baik anda, dan berikan kerjasama padu. Ini adalah sumbangan kita untuk memelihara maslahat umum dan kesejahteraan buat semua.”

Ketika mengumumkan permulaan semula pada 21 Jun, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkata, bagi membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat, dua sesi setengah jam akan dilaksanakan setiap Jumaat, dengan jarak 30 minit antara setiap sesi bagi memastikan pengurusan keselamatan yang hadir.

"Khutbah dan sembahyang akan dihadkan kepada maksimum 20 minit," katanya.

MUIS juga telah membina satu sistem tempahan sembahyang dalam talian bagi menguruskan permintaan dan memastikan perjalanan yang teratur bagi sembahyang berjemaah itu.

Sistem itu membolehkan untuk menempah ruang sembahyang Jumaat serta untuk 50 slot bagi setiap sembahyang berjemaah yang diadakan sebaik selepas azan.

Bagi membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan sembahyang Jumaat, sistem itu akan mengehadkan tempahan bagi seseorang individu itu, kepada satu tempahan sembahyang Jumaat bagi tempoh tiga minggu.

Sembahyang sendirian selain sesi sembahyang berjemaah boleh dilakukan dan tertakluk kepada had 50 orang, pada satu-satu masa.

Singapura memasuki Fasa Kedua pembukaan semula pada 19 Jun, dengan pelonggaran had yang telah dikenakan untuk mengekang penularan Covid-19.- Bernama