KUALA LUMPUR - Malaysia meminta Singapura memberikan pertimbangan sewajarnya untuk memberi kebenaran kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.
Perkara itu disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong semasa kedua-dua pemimpin negara itu berhubung menerusi panggilan telefon bagi membincangkan pembukaan semula sempadan negara hari ini.
Menerusi catatan di media sosialnya, Muhyiddin menjelaskan Malaysia dan Singapura turut sepakat bahawa pembukaan semula sempadan kedua-dua negara perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengikut garis panduan.
"Kami sepakat pembukaan semula sempadan negara perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengikut garis panduan serta protokol kesihatan tertentu demi menjana semula sektor ekonomi dan pelancongan yang tentunya akan memberi manfaat besar kepada kedua-negara negara,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin berkata, Malaysia juga bersedia untuk bekerjasama dengan Singapura agar keperluan mewujudkan 'Reciprocal Green Lane' antara kedua-dua negara bagi menjamin kelancaran pergerakan di kedua-dua negara dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.
Menurut Muhyiddin, mereka juga membangkitkan mengenai urusan berulang-alik 'Periodical Commuting Arrangement (PCA)' antara Malaysia dan Singapura, di mana jika dilaksanakan akan memudahkan urusan pergerakan rakyat kedua-dua negara.
"Di bawah pengaturan ini, penduduk kedua-dua negara boleh bekerja di negara lain bagi tempoh kurang tiga bulan dan akan dibenarkan memasuki negara asal mereka ketika pulang bercuti.
"Cadangan ini dilihat selaras dengan keprihatinan kerajaan mengenai nasib rakyat Malaysia khususnya yang bekerja di Singapura dan tidak dapat pulang ke rumah berikutan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin yang ketat di kedua-dua negara,” katanya.
Tambah Muhyiddin, kedua-dua negara juga yakin isu berkaitan SOP dan protokol kesihatan yang sedang diperhalusi di peringkat menteri dan pegawai kanan kerajaan serta pakar kesihatan kedua-dua negara dapat menyokong cadangan pembukaan semula sempadan dan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat sekali gus menangani kebimbangan rakyat.
"Sebarang keputusan mengenai perjanjian ini bagaimanapun bergantung kepada tahap kesediaan kedua-dua negara meliputi aspek kapasiti melaksanakan ujian saringan dan ujian swab Covid-19,” katanya.
- Bernama