Perompak 'lone ranger' masuk jerat

Iklan
Shafa'aton menunjukkan antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya suspek utama.

SUNGAI BULOH - Polis menumpaskan kegiatan jenayah pecah rumah yang dipercayai dilakukan seorang lelaki sejak Mei tahun lalu.

Bertindak hasil maklumat dan risikan, suspek berusia 35 tahun berjaya diberkas di sebuah rumah di Jalan Sri Kundang, Rawang, kira-kira jam 3.30 petang, 14 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, suspek utama ini turut ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 25 tahun.

"Pelbagai barang disyaki hasil jenayahnya telah dirampas antaranya komputer riba (1 unit), monitor (1 unit), telefon bimbit (7 unit), seutas rantai dan dua keping mata wang asing. Turut dirampas empat buah televisyen jenama Samsung, LG, Toshiba dan Sharp.

Iklan

"Susulan itu, soal siasat membawa rampasan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan suspek ini untuk melakukan kegiatan pecah rumah seperti pemutar skru, playar, spanar dan sarung tangan yang disembunyikan di dalam kereta Perodua Myvi," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Antara peralatan dan barang yang dirampas.

Menurutnya, susulan itu, soal siasat telah membawa penahanan tiga lagi individu berusia lingkungan 25 hingga 31 tahun dalam serbuan berasingan di Puncak Alam dan Jeram, Selangor.

Iklan

Katanya, siasatan mendapati tiga suspek ini memainkan peranan sebagai 'orang tengah' dan pembeli barangan tersebut.

Mengulas lanjut, suspek utama kes yang memiliki 16 rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah ini menyasarkan rumah yang ditinggalkan penghuninya ketika keluar bekerja sebelum memecah masuk melalui pintu belakang.

"Soal siasat mendapati suspek mengaku telah melakukan 12 kes pecah rumah di sekitar daerah Sungai Buloh. Suspek bergerak menaiki kenderaan sewa yang disewa RM100 sehari," katanya.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.