NAMPAKNYA pemimpin UMNO hari ini dah lupa sejarah tahun 2018. Mereka lupa bahawa mereka telah ditolak oleh rakyat.
Rakyat marah kerana ada pemimpin mereka dikatakan korup dan amalkan salah guna kuasa. Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO tewas dalam PRU14.
Kita tahu bagaimana mereka dapat berkuasa semula. Tan Sri Perdana Menteri bawa mereka masuk melalui pintu belakang. Beliau sendiri mengakui bahawa ini bukan kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat.
UMNO dibawa masuk oleh sebab Tan Sri Perdana Menteri mahukan sokongan untuk berkuasa.
Peliknya hari ini ada pemimpin UMNO bercakap macam mereka yang berkuasa. Kenyataan beberapa orang pemimpinnya yang mahukan Parlimen dibubarkan dan PRU diadakan segera nampak sangat angkuhnya.
Tan Sri Perdana Menteri dah banyak kali diingatkan dengan sokongan tipis yang beliau ada, UMNO akan jadi parti dominan dalam kerajaan.
Beliau akan tersepit di tengah-tengah. Dengan keadaan partinya sendiri yang tak mantap, tanpa UMNO dan Pas kerajaannya boleh tumbang.
Ada pemimpin UMNO yang kata, kalau tidak dibubarkan Parlimen dan dapat mandat baharu rakyat, keadaan politik terus tidak stabil.
Awang bukan pandai sangat politik tapi Awang rasa keadaan politik negara akan lebih buruk kalau dibuat PRU pada masa ini.
Jangan begitu yakin rakyat akan kembali menyokong mereka.