SHAH ALAM - Seorang pesara syarikat swasta bertekad terus mencari ibunya selepas wanita itu meninggalkan dia, adik dan bapanya di rumah mereka sekeluarga di Kampung Tengah Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, 66 tahun lalu.
Simon Suat Leng Teck, 69, berkata, dia mengharapkan keajaiban ibunya masih hidup dan dapat ditemui untuk dia melepaskan rasa rindu yang terpendam selama ini.
Menurutnya, jika ibunya itu sudah meninggal dunia, dia mahu mengetahui bagaimana pengakhirannya dan mahu mendapatkan maklumat berhubung kisah hidup ibunya.
"Mak meninggalkan saya ketika berusia 3 tahun dan adik lelak saya, Chai Sing Hee ketika itu berusia 4 bulan.
"Selepas ditinggalkan ibu, kami dibesarkan bapa, Chai Beng Guan sehinggalah berusia saya 14 tahun," katanya.
Simon dan adiknya kemudian dipelihara keluarga angkat yang berlainan selepas bapanya meninggal dunia akibat sakit dalam perut.
"Saya tak tahu sebab sebenar mak tinggalkan kami, yang saya tahu mak berkahwin pada umur 16 tahun dan kemudian menghilangkan diri mungkin ketika berusia antara 18 dan 20 tahun.
"Bapa tak pernah cerita secara terperinci mengenai mak menyebabkan saya sukar mengesan di mana dia berada kecuali usaha mencarinya menerusi sekeping gambar wajahnya yang masih disimpan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kerinduan terhadap ibunya menebal menyebabkan dia yang kini berusia 69 tahun tidak berputus asa cuba mengesan ibunya yang kini dipercayai sudah berusia 85 tahun.
"Saya tak tahu mak saya masih hidup atau tidak, ini adalah usaha saya untuk terus mencarinya. Jika dia sudah tiada, saya mahu tahu apa pengakhirannya, bagaimana kematiannya, adakah dia mempunyai keluarga lain dan saya mahu tahu sejarah hidupnya.
"Saya rindu sangat sebab tu nak cari mak dan jumpa dia kalau masih hidup, kalau dah meninggal dunia apa boleh buat,” katanya.
Simon yang dikenali dengan nama Ah Teck di kampung berkata, dia tidak mempunyai saudara-mara lain yang boleh dirujuk bagi mengetahui latar belakang ibunya kerana bapanya adalah anak tunggal dalam keluarga.
Dia yang pernah berusaha mencari ibunya menerusi akhbar berbahasa Cina berkata, hanya mengetahui serba sedikit mengenai ibunya menerusi rakan-rakan bapanya.
Apa yang cuma diingatinya, pada hari ibunya menghilangkan diri, dia dibawa ke hentian bas terletak berdekatan rumah namun hanya ibunya yang menaiki bas sebaliknya dia ditinggalkan.
Katanya, kawan bapanya pernah memberitahu ibunya memiliki rupa paras yang cantik dan baik ketika masih muda.
Ada juga yang dakwa pernah bertemu ibunya di Rasah, Negeri Sembilan.
"Saya cuma tertanya-tanya kenapa mak tak balik cari saya dan adik, mungkin sebab dia sudah meninggal dunia atau dia sudah berhijrah ke negara China.
"Apa pun saya mahu tahu apa yang terjadi,” katanya lagi.
Menceritakan kembali kehidupannya semasa kecil, Simon berkata, dia pernah membenci lagu yang menggambarkan kasih sayang ibu, namun ia berubah selepas meningkat dewasa dan mula boleh berfikir baik dan buruk.
"Saya masih ingat ketika di sekolah rendah saya tidak menulis apa-apa ketika ditugaskan membuat karangan mengenai kasih sayang ibu.
"Saya tak dapat menulis kerana tak dapat gambarkan macam mana rasanya mempunyai mak,” katanya.