BATU GAJAH - Seorang lelaki kurang siuman bertindak terjun ke sebuah lombong kerana panik selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua motosikal di Kampung Bakap Baru, Jalan Tanjung Tualang, malam tadi.
Bagaimanapun, lelaki berusia 43 tahun itu ditemukan lemas kira-kira jam 9 malam oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda Dash telah bertembung dengan motosikal Yamaha yang ditunggang oleh seorang pekerja kilang.
"Semasa kejadian, kenderaan mangsa telah terbabas dan hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggang lelaki berusia 35 tahun itu.
"Akibat kemalangan itu, mangsa yang dalam keadaan ketakutan bertindak melarikan diri dengan terus masuk ke lombong berhampiran dan disyaki mati lemas,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba dipanggil untuk mengesan mangsa dan mayatnya ditemui kira-kira 10 meter dari tebing lombong terbabit.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.
"Ahli keluarganya turut memaklumkan mangsa pernah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, lima tahun lalu,” katanya.
Ahmad Adnan berkata, mangsa kedua yang dikenali sebagai Salehudin mengalami kecederaan patah bahu kiri selain luka kecil pada lutut.
"Dia telah mendapatkan rawatan di hospital yang sama.
"Siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan jalan selekoh yang gelap tidak berlampu. Bagaimanapun, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.