KOTA TINGGI - Seorang nelayan putus kaki kanan selepas terbelit pada tali pukat ketika menangkap ikan di Tanjung Sedili Besar, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 malam, mangsa, 40, sedang melabuhkan pukat pada kedudukan 7.5 batu nautika tenggara di tanjung itu sebelum salah satu tali pukat terbelit pada kakinya.
Ketika itu juga berlaku ombak besar mengakibatkan bot berkenaan terbuai-buai dengan kuat sehingga mengakibatkan kaki mangsa terjerut dan putus.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, sebuah bot peronda dari Zon Maritim Tanjung Sedili yang sedang dalam Op Benteng Laut 1/2020 bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa selepas menerima panggilan kecemasan daripada Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSCJB).
"Semasa tiba anggota APMM mendapati mangsa berada dalam keadaan lemah dan mengerang kesakitan akibat kehilangan banyak darah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada jam 11.50 malam sebelum diberi bantuan awal dan distabilkan oleh petugas Klinik Kesihatan Tanjung Sedili.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, selain tugas penguatkuasaan, APMM sentiasa bersedia memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat atau komuniti maritim.
Orang ramai terutama komuniti maritim yang berdepan situasi kecemasan di perairan Johor timur boleh menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili (07-8916595) atau talian kecemasan MERS 999.