TANGKAK - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan masyarakat supaya terus mengamal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan selagi penularan wabak Covid-19 dalam negara belum selesai dan vaksin untuknya masih belum ditemukan.
"Pendekatan dan strategi yang kita ambil itu (dalam mengatasi penularan Covid-19). Alhamdulillah, kita boleh rasa bangga kerana kita sudah hampir iaitu ke satu keadaan yang boleh dikatakan hampir seperti sedia kala.
"Tetapi belum selesai lagi. Kita (kerajaan) ingatkan bahawa isu Covid-19 mungkin tidak dapat selesai selagi kita belum menemukan vaksin dan ubat," kata beliau ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad serta beberapa barisan Exco kerajaan negeri.
Muhyiddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, berkata beberapa negara termasuk China dan Amerika Syarikat masih bertungkus lumus mencari vaksin dan ubat yang mujarab bagi Covid-19, yang jumlah jangkitan global kini mencatat lebih sembilan juta orang dan mengorbankan lebih 400,000 nyawa.
Justeru, selagi vaksin dan ubat masih belum ditemukan, Muhyiddin berkata, SOP dalam mengatasi penularan wabak Covid-19 perlu diamalkan sepanjang masa sehinggalah Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tidak lagi perlu mengamalkan SOP.
Beliau turut menzahirkan penghargaannya kepada petugas barisan hadapan kerana bertungkus lumus dalam mengatasi penularan pandemik berkenaan serta jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana taat, sabar dan mematuhi perintah kerajaan.
"Dan sebab itulah hari ini dunia mengiktiraf apa yang telah kita lakukan sebagai sebuah negara untuk menentukan wabak Covid-19 dapat kita kawal.
"Rating Malaysia antara lima negara yang teratas, dari 180 buah negara yang telah dijangkiti Covid-19 (dan) mereka yang bekerja di barisan hadapan ini, siang dan malam sudah bertungkus lumus (dalam mengawal Covid-19),” tegas Perdana Menteri.
Terdahulu, semasa mengimbas kembali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Muhyiddin berkata ia adalah satu keputusan bersejarah dan tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu dalam usaha mengawal penularan pandemik yang menyerang seantero dunia.
"Hari ini berjuta-juta manusia di seluruh dunia sudah dijangkiti. Ratusan ribu sudahpun mati disebabkan tidak ada rawatan yang boleh diberikan kepada mereka (yang dijangkiti), ini termasuklah di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom.
"Maka sebab itu, kerajaan tidak ada pilihan. Satu-satunya pilihan untuk mengambil tindakan yang luar biasa, dalam Bahasa Inggerisnya... unprecedented time (tidak pernah berlaku dahulu).
"Satu jangka masa yang luar biasa perlukan tindakan luar biasa iaitu mengenakan sekatan yang membolehkan kita mengawal wabak ini dengan keadaan yang lebih baik,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.- Bernama