KWP kenal pasti 1,000 lokasi berniaga

Iklan
Annuar turut mencuba menyediakan akok di gerai Akok Pok Long di Peringat, Kelantan hari ini.

KOTA BHARU - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengenalpasti 1,000 lokasi strategik di Kuala Lumpur yang boleh digunakan golongan muda untuk menjalankan perniagaan secara reruai.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi penduduk di ibu kota setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggakan ada di antaranya hilang punca pendapatan dan terpaksa menukar kerjaya.

Iklan
Iklan

"Saya mengakui terdapat kesukaran peniaga kerana ada peraturan yang ketat, kawalan-kawalan tempat perniagaan, pelesenan dan sebagainya.

"Jadi dalam situasi sekarang ini saya dengan bantuan beberapa agensi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pegawai di kementerian telah mengenal pasti hampir 1,000 lokasi yang sesuai untuk dijadikan tempat perniagaan secara reruai," katanya kepada media hari ini.

Iklan

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh mengadakan lawatan ke gerai Akok Pok Long yang diusahakan seorang anak muda, Muhammad Shamil Mohd Sukri di Peringat di sini yang juga merupakan bekas penuntut Takushoko Universirty, Tokyo Jepun hari ini.

Mengulas lanjut mengenai lokasi terpilih, Annuar berkata, lebih 400 lokasi bersesuaian sudah dikenalpasti iaitu berhampiran dengan perhentian bas di Kuala Lumpur dan Putrajaya selain 400 tempat untuk perniagaan menggunakan trak pada waktu yang ditentukan sahaja dan 200 spot di kawasan strategik di laluan pejalan kaki serta tumpuan pelancong di sepanjang projek river of life.

Iklan

Katanya, projek galakkan usahawan muda kota itu juga turut diperluaskan sehingga ke pusat membeli belah dan sebahagian reruai berkenaan sudah dibina oleh DBKL, selebihnya pengusaha terpilih dibenarkan membinanya sendiri selain dibina syarikat francais dilantik.

"Bermula Julai ini secara berperingkat, lebih 1,000 lokasi ini akan dibuka kepada usahawan muda dan juga mereka yang hilang pekerjaan. Bagi mereka yang sudah ada kepakaran sebagai contoh chef, pekerja hotel, juruterbang, pramugari, mereka ini boleh memilih salah satu bentuk perniagaan sama ada reruai kecil, besar, secara trak ataupun mengusahakan kafe.

"Ini sebagai tambahan yang saya akan berikan kelulusan dari masa ke masa untuk penjaja tepi jalan. Misalnya minggu depan saya akan berikan lesen kepada penjaga di Uptown di Taman Setapak Indah pada Khamis ini.

"Kita mahu memberi peluang kepada mereka ini berniaga tetapi kita minta tolong dengan mereka dengan cara menambah keindahan Kuala Lumpur menerusi pembukaan gerai-gerai yang cantik, macam standard antarabangsa, bukan secara cincai-cincai dan kotor," katanya.

Katanya, selain itu beliau mengingatkan peniaga yang diberikan lesen tidak menimbulkan masalah kepada penjaja lain dengan tidak menghalang lalu lintas dan laluan pejalan kaki dan sebagainya termasuklah mengutamakan kebersihan.

"Sekiranya ketiga-tiga perkara yang dimaklumkan itu dapat dipatuhi, saya akan memberikan peluang seberapa luas untuk mereka yang berminat berniaga. Sekarang ini saya bekerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan bersama Menteri Usahawan untuk membuat pelan sokongan aspek modal, latihan dan keperluan lain," katanya.

Menurutnya, kerajaan harus mengambil pendekatan membantu bukannya menghalang dan kementerian akan memberikan peluang untuk orang ramai berniaga di kawasan berpotensi dimajukan meskipun terdapat halangan dari soal kebersihan dan lalu lintas kerana perkara itu akan diikhtiarkan demi rakyat.

"Dasar (membantu bukan menghalang) ini saya akan teruskan. Saya tidak mahu peniaga dipaksa berniaga di tempat tidak strategik yang mana mereka menjalankan perniagaan tetapi tidak mendapat pulangan.

"Sekarang pun kita memilih tempat yang dahulunya tidak dibenarkan berniaga atas sebab tertentu, cuma kita ikhtiarkan ia menjadi lebih menarik. Saya mahu di pasca Covid-19 ini, Kuala Lumpur menjadi ruang untuk mencari rezeki," katanya.