Calon baharu PM perlu dibincang di peringkat kepimpinan Pusat PH

Iklan
Mohamad Sabu, Lim Guan Eng

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menyifatkan cadangan untuk mencalonkan Presiden, Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri masih perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan Pusat Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pertemuan yang diadakan pada Khamis lalu berhubung perkara itu adalah tidak rasmi.

Iklan
Iklan

"Amanah dan DAP berpandangan bahawa ia sebagai suatu opsyen baharu untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan kepada gabungan PH dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Walau bagaimanapun, cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan Pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu, seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan bersama,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu Dr Mahathir membuat pendedahan bahawa beliau dan penyokongnya bersetuju untuk memilih Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri dalam gabungan PH Plus.

Menurutnya, cadangan bagi menggantikan dirinya sebagai calon Perdana Menteri itu juga disokong Amanah dan pemimpin DAP semasa satu mesyuarat dengan pemimpin Warisan.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M mahu Shafie Apdal jadi PM

"Saya harap kita semua (akar umbi) faham. Walaupun saya tidak jadi calon Perdana Menteri tapi ini (Shafie) adalah orang yang sebulu dengan saya dan kita semua kerana beliau melawan kleptokrat.

"Sebab itu kita perlu sokong Shafie dan bagi saya (sokongan) itu sama seperti sokong saya. Saya akan sokong Shafie. Jadi walaupun ada pertukaran sedikit saya harap akar umbi akan terus memberi sokongan kepada calon kita, Shafie Apdal," katanya menerusi satu rakaman video yang diambil semasa satu mesyuarat dengan akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam yang tular di media sosial.