Dua lorong kecemasan dibuka sempena musim perayaan

Iklan
Noor Rashid(tengah) melancarkan Op Selamat ke-14 sempena Tahun Baharu Cina.

SEREMBAN - Dua lorong kecemasan di lebuh raya negeri Perak akan dibuka sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina yang bermula di seluruh negara pada 29 Januari hingga 12 Februari ini.

Laluan berkenaan ialah laluan antara Simpang Pulai-Gopeng berdekatan Hentian Sebelah Simpang Pulai di antara kilometer (KM) 287 hingga 289.95 dan laluan dari Slim River menghala ke Sungkai di KM367. 3 (arah utara).

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan kelancaran jalan raya berikutan laluan berkenaan didapati antara yang mengalami kesesakan teruk setiap kali musim perayaan.

"Kita tiada masalah untuk membenarkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk buka laluan kecemasan ini jika ia boleh mengurangkan masalah kesesakan.

Iklan

"Anggota polis juga akan ditempatkan di kedua laluan ini bagi memastikan kelancaran jika berlaku kecemasan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat Ke-14 2019 sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Hentian Rehat dan Rawat(R&R) Seremban arah utara di sini, hari ini.

Menurutnya, saman serta merta maksimum RM300 turut akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan enam kesalahan utama antaranya memandu di lorong kecemasan, melebihi had laju dan menggunakan telefon.

Iklan

Sementara itu katanya, dengan tema yang sama iaitu 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi', statistik Op Selamat tahun lalu menunjukkan penurunan kes kemalangan maut iaitu 226 kes berbanding 257 (2017).

"Ini menunjukkan usaha polis dan agensi berkaitan lain dalam beri kesedaran kepada masyarakat berkaitan pematuhan undang-undang jalan raya telah beri impak positif.

"Walaupun statistik kes kemalangan meningkat iaitu 21,041 kes tahun lalu berbanding 20,752 (2017), tapi ia seiring dengan pertambahan jumlah kenderaan di seluruh negara.

"Bagi tindakan saman pula catat peningkatan 130,155 saman yang mana sebanyak 385,547 saman dikeluarkan tahun lalu berbanding 255,392 tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata, analisis terhadap Op Selamat sebelum ini mendapati sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan pentingkan diri sendiri jadi punca peningkatan kemalangan.

Hadir sama, Pengerusi PLUS Datuk Mohd Sheriff Mohd Kassim, Pengarah PLUS Datuk Azman Ismail dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Azisman Alias.