SPRM tahan penguat kuasa PBT, 'runner'

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penghantar barang kerana disyaki meminta wang rasuah berjumlah RM4,000 daripada seorang peniaga kedai makan hari ini.

Menurut sumber, penguat kuasa berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang tadi di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Difahamkan penguat kuasa itu ditahan susulan daripada tangkapan seorang lelaki yang disyaki bertindak sebagai ‘runner’ untuk meminta wang sogokan.

"Lelaki berusia 36 tahun itu telah ditahan pada jam 7.45 malam semalam di sebuah gerai makan di ibu negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Katanya, lelaki berkenaan telah direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 1 Julai.

Terdahulu sepasukan penguat kuasa PBT telah memeriksa dan menyita kedai makan di sebuah apartment di ibu negara kerana kesalahan tiada lesen perniagaan yang sah dan menggaji pekerja asing pada 15 Jun lalu.

Iklan

Menurut sumber, 'runner' itu telah datang dan berjumpa dengan peniaga kedai makan tersebut serta meminta wang rasuah RM4,000 sebagai balasan agar tidak dikenakan tindakan pada 18 Jun lalu.

"Lelaki tersebut juga meminta wang perlindungan berjumlah RM500 secara bulanan supaya kedai makan tersebut tidak diganggu dan tidak diambil tindakan undang-undang oleh pihak PBT," katanya.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan tersebut.