Menara Alor Setar dibuka selepas tutup 102 hari

Iklan
Zuwairi gembira dapat membawa anak-anak dan isteri tercinta menaiki Menara Alor Setar yang dibuka semula selepas 102 hari ditutup sebelum ini.

ALOR SETAR - Mercu tanda terkenal Bandaraya Alor Setar, Menara Alor Setar, mula dibuka semalam selepas 102 hari ditutup bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19).

Tinjauan Sinar Harian mendapati pembukaan menara ikonik itu mendapat sambutan daripada pelancong dan pengunjung tempatan.

Iklan
Iklan

Pengunjung, Zuwairi Md Abu, 36, mengakui teruja kerana berpeluang membawa isteri, Mazliza Aziz, 36, dan dua anak mereka, Rayana Sofea, 6, dan Salsabila, 3, mengunjungi salah satu lokasi pelancongan terkenal di Kedah.

Katanya, mereka sekeluarga dari Ipoh, Perak secara kebetulan datang ke Kedah atas urusan kerja mengambil kesempatan menaiki menara itu untuk melihat keindahan panorama bandar itu selepas lebih tiga bulan mematuhi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Iklan

"Kami pun tak sangka Menara Alor Setar dibuka tetapi kebetulan hari ini (semalam) kali pertama kami keluar sejak PKP dan datang ke sini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Luqman Yahya Ariff, 25, turut tidak melepaskan peluang membawa tunangnya menaiki menara berkenaan.

Iklan

"Saya dari Selangor dan tunang orang sini. Apabila mendapat tahu menara dibuka saya mengambil peluang melihat keindahan panorama dari atas menara sambil menikmati makanan di sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Ainol Shaharina Sahar berkata, jadual lawatan baharu disusun selepas pembukaan semula menara itu.

"Kini, Menara Alor Setar dibuka bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari. Bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di Malaysia, ada satu kejutan istimewa pada Julai yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Menara Alor Setar kini bersedia menerima kunjungan pelancong dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.