Keadilan untuk Adib

Iklan
Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim

TAHUN lepas saya pernah menulis tentang menuntut keadilan bagi Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim. Mungkin kini ada yang sudah melupai insiden itu tetapi sebagai seorang peguam yang memperjuangkan keadilan, ia tidak pernah luput dari minda saya.

Sebagaimana sejarah menukilkan tanggal 17 Disember 2018, menyaksikan negara mengalami kesedihan apabila seorang penjawat awam yang sedang melaksanakan tugasnya sebagai seorang anggota bomba meninggal dunia kerana dipukul dan dicederakan dengan teruk oleh sekumpulan orang yang merusuh di Kuil Sri Maha Maraimman USJ 25, Subang Jaya.

Iklan
Iklan

Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia pada tarikh tersebut setelah berminggu berada di dalam keadaan koma. Lebih menyedihkan lagi Allahyarham dijadualkan mendirikan rumah tangga lima hari selepas tarikh kematiannya itu.

Sehingga kini, rakyat marah kerana pembelaan kepada Allahyarham tidak nampak diadakan. Walaupun menjadi penjawat awam, Allahyarham tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Iklan

Walaupun Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib berpunca daripada tindakan jenayah, sehingga kini penjenayah tersebut masih bebas walaupun pihak polis pernah mengeluarkan senarai lakaran muka pihak yang boleh membantu siasatan polis dulu.

Pada 18Disember 2018, polis telah mengklasifikasikan kematian Muhammad Adib sebagai kes bunuh.

Iklan

Seharusnya pihak polis dan Peguam Negara segera melengkapkan siasatan dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab di bawah tuduhan dalam seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pihak polis perlu menjelaskan kenapa suspek kes itu masih belum dapat ditangkap dan kenapa siasatan tidak dapat disempurnakan kerana ia adalah kes berkepentingan awam.

Di mana Ketua Polis Negara dalam isu itu? Saya dimaklumkan keluarga Allahyarham Muhammad Adib telah menulis kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan isu tersebut tetapi tidak diketahui maklum balas dari pihak Jabatan Peguam Negara sehingga kini.

Rakyat menagih ketelusan dan keberkesanan di dalam penyelesaian kes berkepentingan awam sebegini. Kes-kes berprofil tinggi melibatkan orang politik sudah muak diperkata pelbagai pihak. Keadilan adalah hak rakyat.

Kalau dulu isu itu dibangkitkan atas dakwaan rasis oleh pihak tertentu tetapi kemudian didapati sebaliknya. Ia bukan isu bangsa tetapi isu keengganan pihak kuil melaksanakan perintah persetujuan yang telah dimeterai di mahkamah. Ia adalah pertikaian persendirian antara dua pihak di mahkamah yang langsung tiada kaitan dengan bangsa.

Namun, sedihnya pihak yang mahu menjaga keamanan pula yang terbunuh oleh demontrans yang datang yang mungkin diapikan dengan isu yang direkayasa. Mereka mungkin diperdaya pihak tertentu yang tidak senang melihat keamanan negara.

Walau apapun, Allahyarham pergi pasti tidak akan kembali lagi. Allahyarham meninggalkan keluarga dan tunangnya dalam keadaan yang sangat berdukacita. Sedangkan pelaku kesalahan masih belum dihukum. Adakah keluarga mangsa tidak layak menikmati keadilan?

Ironinya golongan yang mendakwa memperjuang hak asasi manusia senyap sunyi seolah-olahnya hak asasi manusia ini tidak terpakai apabila orang Islam dianiaya atau dizalimi. Di manakah golongan hak asasi manusia di dalam kes seperti itu?

Walaupun Muhammad Adib ialah seorang Islam, kematiannya tidak menjadikan umat Islam secara keseluruhan memberontak. Umat Islam sangat berdisiplin dan memelihara keluhuran dan kedaulatan undang-undang. Sebenarnya kalaupun mangsa bukan orang Melayu atau Islam keadilan mesti ditegakkan bagi pihak mereka yang tertindas.

Namun jika acapkali umat Islam diuji sebegini mungkin kesabaran umat Islam akan sampai ke penghujungnya. Ia tidak baik buat negara. Saya juga menyeru semua rakyat Malaysia agar mengekalkan keamanan negara, mengelak sensitiviti perkauman dan bertenang menghadapi dugaan itu.

Muhammad Adib damailah kamu di sisi-Nya. Berehatlah. Seluruh Umat Islam mendoakan kebahagiaanmu. Anda wira negara. Kami masih memperjuang keadilan buatmu dan keluargamu.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia