Biarlah dia tak 'glamour'

Iklan
Bapa bimbang Nadia Khairunisa leka sehingga mengganggu aktiviti persekolahan dan tumpuan dalam menghadapi peperiksaan.

KUALA NERUS - Bapa gadis yang memelihara kerbau 'pink' di Gemuruh di sini, berharap anak perempuannya itu tidak terus menjadi perhatian selepas kisahnya ditularkan semula di media sosial.

Yusof Mohamad, 47, juga tidak mahu Nadia Khairunisa, 17, dianggap menumpang populariti remaja bertuah, Syukor Khamis, 14, yang tular kerana gambar aksi yang menarik dengan kerbau peliharaan remaja itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana, dia bimbang anak keduanya itu leka sehingga mengganggu aktiviti persekolahan termasuk tumpuannya dalam menghadapi peperiksaan yang penting pada tahun ini.

"Biarlah dia tak 'glamour' sebab saya juga bimbang pandangan orang terhadapnya terutamanya yang negatif kerana bagi saya kisahnya tular semula kerana remaja bertuah itu. Asalnya dia tak 'glamour' pun.

Iklan

"Masing-masing ada kelebihan sendiri, jadi biarlah Nadia Khairunisa dikenali sebagai remaja yang mampu melapah ternakan selain kerana kerbau peliharaan kami yang berwarna 'pink' itu," katanya, hari ini.

Yusof mengulas foto Nadia beraksi bersama kerbau diberi nama Awang itu mencuri semula perhatian netizen selepas beberapa keping foto Syukor bersama sekawan kerbau peliharaan bapanya tular baru-baru ini.

Selain anaknya, Yusof (berdiri, tiga kanan) mempunyai lebih 50 anak didik bersilih ganti sejak menubuhkan kumpulan 'Gemuroh Feedlot' 20 tahun lalu.

Iklan

Foto dikongsi di laman Facebook Amazing Terengganu itu sekali lagi mendapat perhatian ramai kerana keunikan Awang yang berwarna merah jambu dan bertubuh sado dengan berat 760 kilogram.

Bagaimanapun, Yusof berkata, keluarganya tidak pula menyalahkan mana-mana pihak yang menularkan semula gambar gambar dirakam lebih setahun lalu itu kerana itu adalah hak mereka.

Menurut Yusof, anak gadisnya itu sebelum ini hanya dikenali penduduk setempat kerana mahir melapah lembu korban yang lazimnya dimonopoli kaum lelaki dan golongan dewasa sahaja.

"Nadia Khairunisa mula mempelajari teknik melapah ternakan sejak usianya 12 tahun. Dia sudah biasa bergelumang dengan darah dan najis haiwan ketika menguruskan haiwan korban.

"Saya juga gembira dia menjadi inspirasi kepada rakan sebaya di kampung terutama remaja lelaki dan saya harap ia kekal begitu," kata usahawan ternakan yang memelihara lebih 100 lembu dan kerbau itu.

Yusof menubuhkan pasukan melapah terdiri daripada golongan muda berusia 13 hingga 20 tahun untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk kampung ketika ibadah korban dijalankan.

"Selain Nadia, saya mempunyai lebih 50 anak didik bersilih ganti sejak menubuhkan kumpulan 'Gemuroh Feedlot' 20 tahun lalu yang memberikan perkhidmatan melapah ternakan korban,” katanya.