PRK DUN Chini penanda aras PN: Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri ketika berucap pada majlis pemimpin bersama masyarakat di Pusat Bandar Dara Felda Chini malam tadi. Foto: Bernama

PEKAN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menjadi penanda aras dalam membuktikan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PRK kali memberi dua isyarat sama ada sokongan masyarakat terhadap PN ataupun memihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang begitu yakin beliau masih diterima rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia kerana salah seorang calon Bebas yang bertanding di PRK DUN Chini ini mendapat sokongan penuh daripada pemimpin berkenaan.

"Kita kena ingat, kemenangan di PRK ini diberi gambaran situasi pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) nanti.

Iklan

"Kalau tolak calon BN (Barisan Nasional) maknanya kita tolak kepimpinan negeri Ahli Parlimen Pekan dari BN (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kepimpinan kerajaan hari ini.

"Kerajaan hari ini telah membuktikan kemampuannya termasuk dalam menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Program Pemimpin Bersama Masyarakat di tapak pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pusat Bandar Dara Chini di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Yang Dipertua Pas Pekan Abu Kassim Manaf.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang merupakan Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, pengundi diingatkan agar memilih parti yang boleh membantu bukan yang menyusahkan hidup rakyat.