PEKAN – Calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli mengakui pernah diminta supaya menarik diri agar tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Bahkan, beliau dituduh sebagai pengacau dan sengaja meletakkan dirinya untuk ‘dijual beli’ oleh parti lawan sekiranya menarik diri dari bertanding.
Menurutnya, semua tuduhan yang dilemparkan kepada beliau itu adalah karut dan fitnah, malah merasa bangga kerana dapat menyertai PRK Chini.
"Tanggal 20 Jun lalu, walaupun saya tahu ia bukan suatu yang mudah sebenarnya, namun saya berjaya menjadi calon dan bertanding di DUN ini atas lambang kunci.
"Apa yang membanggakan, saya berdepan pula dengan dua calon yang disokong oleh dua bekas Perdana Menteri. Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain disokong Datuk Seri Najib Tun Razak manakala calon bebas lambang rumah pula disokong Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya ketika turun padang berjumpa penduduk di Bandar Dara, Chini di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata, bagaimanapun, rakyat perlu bijak memilih sekiranya mahu perubahan berlaku di DUN Chini.
"Kalau mahukan perubahan, pilih calon bebas kunci. Tapi jika mahu kekal dengan apa yang ada sekarang, pilihlah kedua-dua calon yang disokong oleh bekas Perdana Menteri.
"Saya akan tetap berjuang untuk selamatkan alam sekitar di Chini dengan cara saya sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, beliau akan terus berusaha untuk membuktikan perjuangan rakyat yang saya bawa selama ini jadi pemangkin kejayaan di PRK DUN Chini.