DUNGUN - Selepas hampir sembilan jam bertarung nyawa, seorang pelajar tingkatan satu yang parah di kepala akibat kemalangan di Jalan Pak Samad, Kampung Batu Tiong, di sini meninggal dunia malam kelmarin.
Muhammad Adam Fikri Muhamad, 13, dari Kampung Rhu Batil Kuala Abang, di sini, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.30 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa bersama rakan sekampung, Muhammad Adiff Ikhwan Zuyadi, 12, membonceng motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang rakan mereka, Muhammad Fathurrahman Mohamad Borhan, 12, dari Kampung Baru Kuala Abang menghala ke Batu Tiong, di sini.
"Sebaik tiba di lokasi, motosikal berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar pokok yang berada di bahu jalan sebelah kiri.
"Akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga mangsa tercampak ke cerun berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kesemua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan telah dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan susulan.
Bagaimanapun katanya, Muhammad Adam Fikri disahkan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan pada jam 8.30 malam.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.