Wad perubatan HSA terbakar, 24 pesakit selamat

Iklan
Kebakaran kecil di Wad Perubatan Perempuan 1 di HSA, Johor Bahru pada jam 3.08 petang tadi.

JOHOR BAHRU - Sebuah blok menempatkan Wad Perubatan Perempuan 1 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini terbakar pada jam 3.08 petang tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dalam kejadian tersebut, 24 pesakit wanita yang berada dalam wad berkenaan sempat dipindahkan ke wad sementara sebelum dipindahkan ke wad berhampiran dan Hospital Permai.

Iklan
Iklan

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku. Semua pesakit termasuk yang kritikal sempat diselamatkan semasa kebakaran berlaku.

"Kita menafikan terdapat dua pesakit yang meninggal dunia dalam kebakaran ini seperti yang sedang viral ketika ini," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan wad itu hari ini.

Iklan

Turut hadir Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyanathan; Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahya Madis dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu.

Sinar Harian difahamkan, bangunan itu menempatkan Wad Perubatan Perempuan 1, 2 dan 3 yang sebelum ini dijadikan tempat rawatan untuk pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan

Pada 25 Oktober 2016, tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan HSA terbakar hingga mengakibatkan enam pesakit terdiri dari empat wanita dan dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat.

Adham berkata, kebakaran pada mulanya berjaya dipadamkan polis bantuan HSA tetapi merebak semula sebelum meminta bantuan pihak bomba untuk menjalankan kerja-kerja pemadaman.

Katanya, bangunan yang boleh menempatkan 52 pesakit itu akan ditutup untuk sementara sehingga siasatan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak bomba selesai.

Ditanya sama siasatan menyeluruh akan dilakukan di seluruh bangunan HSA memandangkan terdapat bangunan lama dan pernah terbakar sebelum ini, beliau berkata, tidak semua bangunan HSA adalah binaan lama.

"Ini kompleks lama dan ada (bangunan) yang baharu, the entire situasi kita akan siasat dan pastikan selepas ini akan diperbaiki dan ditambah baik," katanya.

Sementara itu, Yahya berkata, lebih 60 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, BBP Tebrau dan BBP Johor Jaya dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, pihaknya turut dibantu tiga jentera Fire Rescue Team (FRT), tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Kebakaran dapat dikawal pada jam 3.29 petang. Punca dan kerugian masih lagi dalam siasatan.

"Pihak forensik bomba akan mengambil masa satu atau dua hari untuk melakukan siasatan," katanya.