ALOR SETAR - Seorang lelaki terkejut menemui seorang bayi perempuan dalam balutan kain dalam kejadian di Kampung Sakan di sini hari ini.
Abdul Shukkur Ali Akbar, 52, berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 7 pagi ketika beliau mahu memberikan makanan kepada ayamnya sebelum menemui bungkusan tersebut di belakang rumahnya.
Beliau yang pada awalnya menyangka balutan tersebut mengandungi anak kucing yang dibawa pulang anak-anaknya bertindak memanggil salah seorang anaknya, Najmuddin Abdul Alim, 24, untuk membuka balutan kain tersebut.
"Kami percaya bayi ini diletakkan di sini sekitar jam 5.30 pagi kerana ada bunyi motosikal tapi tidak syak apa-apa.
"Bayi itu berkulit cerah tapi dia tak menangis langsung cuma semasa polis bawa pergi barulah dengar suaranya tetapi perlahan," katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sakan dekat sini hari ini.
Beliau percaya, bayi tersebut baru sahaja dilahirkan berdasarkan keadaannya yang masih bertali pusat.
Abdul Shukkur berkata, salah seorang saudaranya telah menghubungi polis yang tiba kira-kira jam 8.30 pagi dan bayi tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh dalam kenyataan ringkasnya mengesahkan penemuan bayi tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.