GEORGE TOWN - Seramai 40 penyelam dari empat agensi memulakan penyelaman hari ini untuk memasang kabel pada sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke laut selepas satu kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, kelmarin.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, para penyelam itu terdiri daripada Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
"Dua orang penyelam akan membuat penyelaman selama 20 minit sebelum digantikan dengan penyelam-penyelam lain selepas itu dalam operasi ini,” katanya di lokasi kejadian di Kilometer 4.0, Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai, hari ini.
Katanya pasukan operasi yang menjumpai SUV jenis Mazda CX-5 berkenaan kira-kira pukul 4 petang semalam berdekatan tiang 34 jambatan itu menghadapi masalah untuk memasang kabel pada kenderaan itu dalam keadaan penglihatan bawah air yang terhad dan arus kuat.
"Inilah yang menyebabkan kabel berkenaan terlepas sebanyak empat kali sebelum kami mengambil keputusan menangguhkan operasi semalam berikutan cuaca semakin gelap,” katanya.
Sebelum ini, Rosman berkata operasi hari ini berkemungkinan lebih mudah dan tidak mengambil masa yang lama kerana pasukan penyelamat telah berjaya mengesan kedudukan SUV berkenaan yang berada 15 meter dari lokasi ia terhumban ke dalam laut dengan kedalaman kira-kira 15 meter.
"Cuma semalam pasukan penyelamat menghadapi beberapa kesukaran kerana keadaan arus yang kuat dan jarak penglihatan di dasar laut terhad berikutan hari semakin gelap, kami harap hari ini semua (usaha mengangkat keluar kenderaan) berjalan lancar," katanya.
Kereta Mazda CX-5 itu dikatakan telah dipandu oleh Moey Yun Peng, 20, seorang penuntut kolej swasta di sini yang gagal mengawal kenderaan itu menyebabkannya terhumban ke laut setelah berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Toyota Vios di jambatan berkenaan.
Sementara itu, pemandu Toyota Vios yang berumur 21 tahun dikenal pasti sebagai seorang pekerja salon rambut mengalami kecederaan dan kini masih dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru di sini. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: