Luqman mampu menyinar di Eropah

Iklan
Luqman memiliki potensi besar untuk menyinar di pentas Eropah.

HARTAWAN terkenal negara merangkap pemilik kelab KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan memberikan jaminan kepada Luqman Hakim Shamsudin bahawa penyerang muda negara itu memiliki potensi besar untuk menyinar di pentas Eropah.

Malah, Vincent yang juga pemilik kelab Cardiff City mendedahkan penyerang kelahiran Kota Bahru, Kelantan berusia 18 tahun itu telah menjadi milik kelab yang berpangkalan di Belgium tersebut.

Iklan
Iklan

"Status masa depan Luqman tidak sepatutnya menjadi tanda tanya kerana pemain itu sendiri telah menandatangani kontrak bersama KV Kortrijk. Kami telah menawarkan kontrak lima tahun kepada Luqman dan dia sepatutnya terbang (ke Belgium) lebih awal tetapi gagal berbuat demikian disebabkan pandemik Covid-19.

"Kami telah menawarkan gaji lebih tinggi daripada apa yang kami tawarkan pada perbincangan awal sebelum ini.

Iklan

"Apa yang pasti, Luqman bersetuju ke Belgium. Dalam masa seminggu ini, kami dalam proses terakhir perbincangan bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kesemua pihak positif untuk melihat dia menyertai kelab kami,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian semasa pertemuan di The Taaras Beach Resort & Spa Resort (Berjaya) di Pulau Redang semalam.

Dalam perkembangan sama, Vincent tidak terlepas melahirkan rasa kecewa terhadap situasi Luqman yang menjadi subjek di laman media sosial selepas dia dikaitkan dengan Newcastle United dan Bayer Leverkusen.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Newcastle menepis dakwaan kononnya berminat untuk membawa Luqman ke England sementara tiada sebarang respons daripada Bayer Leverkusen.

Vincent Tan

"Namun secara peribadi saya sangat kecewa tentang apa yang berlaku kepada Luqman sepanjang satu atau dua bulan ini. Dia tidak berkomunikasi dengan kami cara yang betul dan paling mengejutkan kami ketika dia menandatangani ejen untuk dirinya.

"Saya tidak berniat untuk menyalahkannya memandangkan dia masih muda dan tidak banyak tahu apa yang berlaku. Nasihat saya kepadanya supaya jangan sesekali membiarkan orang mengambil kesempatan terhadapnya dengan memberikan nasihat yang salah,” katanya.

Dalam pada itu, Vincent memberikan jaminan bahawa Luqman akan dibenarkan menyertai skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara bimbingan Brad Maloney bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan Oktober depan, sekali gus memburu tiket Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun depan.

"Pihak pengurusan KV Kortrijk akan menjaga Luqman dengan baik dan sebagai rakyat Malaysia, saya tahu bagaimana mahu menjaga Luqman nanti. Impian saya adalah mahu menyaksikan Luqman bermain baik di Belgium dan menjadi pemain yang lebih bagus.

"Saya sebagai pemilik kelab KVK tahu apa yang saya harus lakukan dan saya akan melepaskan Luqman menyertai skuad kebangsaan pada Oktober depan.

"Sudah pasti kebanyakan kelab tidak akan melepaskan pemain mereka sebagaimana mereka dalam peringkat pertandingan tetapi saya lakukan ini demi kepentingan negara. Kita harus menyokong Malaysia,” jelasnya.