JURGEN Klopp percaya Jadon Sancho akan lebih menyerlah apabila menyarung jersi Liverpool, namun tidak meletakkan sebarang harapan The Reds akan merekrut tonggak depan Borussia Dortmund berkenaan.
Ramai yang mengharapkan Klopp akan memperkuatkan bahagian depan The Reds sebaik mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun sebaliknya yang berlaku apabila sasaran mereka, Timo Werner beralih arah memilih Chelsea.
Biarpun begitu perbincangan mengenai Sancho yang kini berada dalam radar Anfield tentunya berita kepada bekas pengendali Dortmund itu.
Mengulas perkara itu pengendali asal Jerman berkenaan:"Jersi merah akan lebih menyerlahkan potensi diri Sancho.
"Tapi saya fikir perpindahan Sancho tidak akan berlaku pada musim panas ini.
"Sancho seorang pemain yang menarik. Saya adalah orang yang paling terkejut di Liverpool sekiranya dia menyertai The Reds,” kata pengendali berusia 53 tahun itu.
Kehadiran dalam memperkuatkan cabaran Dortmund di saingan Bundesliga ternyata memberi impak positif apabila meledak 20 gol dan 20 bantuan gol dalam kempen 2019/20 sejak meninggalkan Manchester City tiga tahun lalu.
Manchester United dilaporkan sebagai pendahulu untuk membawa pemain sayap berusia itu kembali ke England.
Pemain berusia 20 tahun dilaporkan dikenakan yuran pelepasan sekurang-kurangnya 100 juta Euro (RM473.24 juta) untuk memujuk Dortmund menjualnya.
Bayaran yuran 100 juta Euro itu memungkinkan The Red Devils mendapatkan tandatangan Sancho sekiranya gergasi Inggeris itu meraih slot ke Liga Juara-Juara musim depan termasuk faktor pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, bekas kapten yang mengetuai bahagian perlesenan pemain Dortmund, Sebastian Kehl, menegaskan gergasi Bundesliga itu yakin mengekal Sancho di Signal Iduna Park.
”Sancho mempunyai kontrak jangka panjang bersama Die Borussen. Tidak ada pertanyaan khusus untuknya pada ketika ini dan tidak ada yang tahu bagaimana pasaran pertukaran akan berubah di tengah wabak Covid-19.
"Kami mengharapkan Sancho bermain di Borussia musim depan dan kami semua akan senang dengan kualiti yang dia berikan kepada pasukan kami dan perbezaan yang dia buat,” katanya.
Sementara itu, Klopp mengakui dia belum memikirkan sebarang penyusunan semula pemain-pemain Liverpool pada musim panas.
"Kelab ini tidak memerlukan rehat. Biarpun begitu saya tidak dapat berjanji Liverpool akan menguasai bola sepak mulai sekarang, dan saya juga tidak tahu adakah masa terbaik membincangkan rombakan besar-besaran kelab.
"Tetapi apa yang saya tahu tujuan kami adalah untuk menjaga keutuhan kesatuan kelab kerana pemain-pemain Liverpool sudah pun memberikan terbaik,” katanya.