BRASILIA - Kementerian Kesihatan Brazil semalam mengumumkan perjanjian dengan United Kingdom (UK) untuk memperoleh teknologi bagi menghasilkan vaksin koronavirus (Covid-19) yang kini sedang dikembangkan oleh Universiti Oxford dan syarikat farmasi AstraZeneca.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima cadangan daripada makmal dan kedutaan UK di Brazil untuk bekerjasama dalam pengembangan teknologi vaksin ChAdOx1.
Iklan
Iklan
"Jika keberkesanannya terbukti, kita akan menghasilkan 100 juta dos vaksin untuk penduduk Brazil,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pengawasan Kesihatan, Arnaldo Correia de Medeiros menjelaskan bahawa Yayasan Oswaldo Cruz (Fiocruz) akan mengeluarkan vaksin tersebut dengan menggunakan teknologi luar negara.
Katanya, sekiranya ujian tersebut berjaya membuktikan keberkesanan vaksin tersebut, Brazil akan menerima 30.4 juta dos dalam dua kumpulan iaitu sebanyak 15.2 juta pada Disember 2020 dan selebihnya pada Januari 2021 dengan nilai sekitar AS$127 juta (RM545 juta). - Xinhua