PORT DICKSON - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meluahkan kekecewaan dengan sikap segelintir pengunjung di pantai Port Dickson yang membuang sampah merata-rata.
Beliau pada laman Facebook rasminya berkata, ketiadaan tong sampah di kawasan itu bukanlah alasan untuk pengunjung membuang sampah sewenang-wenangnya.
"Saya mendapat laporan petang tadi (semalam) bahawa terdapat segelintir pengunjung yang mengambil mudah soal kebersihan alam sekitar dengan membuang sampah merata-rata.
"Saya ingin menegaskan bahawa ketiadaan tong sampah yang banyak bukanlah alasan. Selaku pencinta alam sekitar, para pengunjung haruslah menghargainya dengan membuang sampah di tempat sepatutnya,” katanya.
Jelasnya, jika tempat rekreasi dikunjungi tiada kemudahan tong sampah, sila simpan dahulu sampah berkenaan.
Sehubungan itu, beliau merayu agar masyarakat menghargai usaha pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang bekerja keras memastikan pantai bersih dan selesa untuk dikunjungi.
Sementara itu, Pengurus SWM Environment Sdn Bhd Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr Al’Ashari Othman menerusi kenyataan berkata, terdapat 18 pantai di Port Dickson yang berada di bawah perkhidmatan syarikat pembersihan itu.
"Pekerja kami telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Pantai Teluk Kemang dan Pantai Saujana sebanyak tujuh kali seminggu bermula jam 6 pagi hingga 3 petang manakala di pantai-pantai lain bermula jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang.
"Selain itu penggunaan jentera berteknologi tinggi ‘beach comber’ turut digunakan di lima pantai utama iaitu Pantai Cermin, Pantai Tanjung Biru, Pantai Desa Lagoon, Pantai Saujana dan Pantai Nelayan dengan kekerapan lima kali seminggu,” katanya.
Beliau berkata, bagi memudahkan para pengunjung melupuskan sisa yang dijana, pihak syarikat turut menyediakan tong-tong sampah berkapasiti 120 liter dan 1,000 liter di sepanjang pantai Port Dickson.