Pengendali Manchester City, Pep Guardiola yakin kejayaan merangkul trofi Piala FA Inggeris bakal menjadi bekal terbaik menjelang aksi berdepan Real Madrid pada pusingan kedua peringkat 16 pasukan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Guardiola berkata, City dilihat lebih bersedia untuk berdepan gergasi La Liga itu setelah menewaskan Newcastle United 2-0 di St James Park dan seterusnya menempah pertemuan dengan Arsenal di peringkat separuh akhir.
Menurutnya, skuad The Citizens itu pastinya bersemangat kerana mendahului skuad Los Blancos itu, 2-1 daripada segi aggregat.
"Kami sebenarnya gembira, kerana walaupun tewas kepada Chelsea, tetapi kami kini berada di Wembley sekali lagi untuk berdepan Arsenal bagi saingan separuh akhir dalam perjalanan ke pentas final.
"Ia (Piala FA) sentiasa menjadi trofi yang menakjubkan dan memberikan kami bonus, di sebalik apa yang berlaku dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kini kami hanya perlukan dua kemenangan untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.
"Oleh itu, saya mencabar kesebelasan City untuk bersedia untuk berdepan Real Madrid dari sekarang, tetapi dalam masa sama turut memberikan fokus untuk memenangi Piala FA," katanya.
Sementara itu bagi mengulas aksi suku akhir berdepan Newcastle United, Guardiola berkata, dia cukup berpuas hati dengan aksi kesebelasan pemain City.
Malah katanya, dia turut tertarik dengan jaringan yang dilakukan pada perlawanan berkenaan bagi mengesahkan kemaraan pasukan.
"Ia adalah gol yang hebat daripada Raheem (Sterling). Untuk penalti pula, De Bruyne menyempurnakannya dengan baik," katanya.