KUANTAN - Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini diminta membuat keputusan tepat bagi memilih wakil rakyat mewakili mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan pada 4 Julai ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Muttalib berkata, ia bagi membolehkan wakil rakyat yang dipilih itu dapat membawa pembangunan kepada kawasan setempat serta membantu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
"Di kawasan Chini ini sudah terbina sebuah balai bomba (Balai Bomba dan Penyelamat Chini) dan sudah boleh beroperasi. Jadi saya anggap ini (kemudahan balai bomba) sebagai rezeki kepada rakyat di Chini.
"Saya minta agar pengundi Chini kena fikir-fikirkan dan pilih wakil rakyat yang tepat," kata beliau kepada pemberita ketika lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Chini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Ketua Balai Bomba Chini, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Fadzilah Zainal Abidin.
Ismail berkata, hanya calon daripada kerajaan memerintah boleh melaksanakan pembangunan dan kemudahan untuk rakyat setempat.
Ditanya mengenai isu kenaikan elaun tugas bomba bantuan daripada RM6 kepada RM8 sejam, Ismail berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam kementerian dan dibawa ke Kabinet.
Menurutnya, perkara itu bukan sesuatu isu yang besar, namun akan memberi perhatian sewajarnya.
"Saya difahamkan mereka hanya mendapat RM6 bagi satu jam. Biasanya mereka bertugas 12 jam, jadi pasukan lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah dapat RM8.
"Kita akan bantu mereka ini kerana mereka juga mendapat sokongan daripada kita. Saya yakin menteri, saya (timbalan menteri) dan kementerian akan cuba mencari pendekatan terbaik untuk membantu pasukan bomba," katanya.