KUALA LUMPUR - Seorang jurugambar syarikat produksi diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menghina agama Hindu di media sosial, tahun lalu.
Hakim, MM Edwin Paramjothy membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah memberi tiga pilihan kepada tertuduh, Zamri Abd Razak, 53, sama ada membuat keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi, keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh dan berdiam diri.
Tertuduh melalui peguamnya, Mohd Harris Al-Hajj Abdullah memilih untuk memberi kenyataan dari kandang saksi dalam prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal.
Mengikut pertuduhan, Zamri dituduh memuat naik komen jelik terhadap agama Hindu di Facebook miliknya dan ia dibaca Saravana Kumar pada jam 12.45 petang, 10 Mac 2019.
Zamri didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum denda RM50,000 dan penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pemuda itu sebelum ini mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca pada 15 Mac 2019 namun bertindak menukar pengakuan kepada tidak bersalah, tiga hari kemudian.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 April 2019 lalu sebagai tarikh mula perbicaraan bagi kes tersebut.