SUNGAI BESAR - Pas Kawasan Sungai Besar mencadangkan individu menghina Jata Negara berdepan tindakan tegas termasuk dilucutkan status kewarganegaraan.
Naib Yang Dipertuanya, Mohd Razali Saari berkata, perbuatan biadap itu membuktikan individu terbabit bukan sahaja tergamak menghina lambang rasmi kedaulatan negara, bahkan tidak layak menjadi rakyat negara ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, mana-mana pihak tidak harus sewenang-wenangnya membuat perkara atas nama kebebasan dengan menghina Jata Negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kita meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya dan menyiasat perkara terbabit," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam hari ini.
Mohd Razali berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga diminta mengharamkan buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia'.
"Perkara ini tidak seharusnya berlaku di negara ini yang rakyatnya dididik menghormati keamanan dan kedaulatan negara," katanya.
Berdasarkan gambar yang tular di media sosial dan Facebook, lukisan mirip Jata Negara di kulit buku 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' itu memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang selain imej dua harimau diubah suai dengan menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.