Mana ketua kampung kami?

Iklan
Zakaria (kanan) dan Ashaari (kiri) menujukkan jalan kampung rosak yang tidak dibaiki berikutan tiada ketua kampung untuk melaporkannya.

TELUK INTAN - Lebih 3,000 penduduk Kampung Selabak, di sini buntu kerana tiada ketua kampung dilantik oleh PH yang mentadbir negeri ini hampir sembilan bulan hingga menyukarkan urusan mereka.

Penduduk, Ashaari amin, 67, berkata, ketiadaan ketua kampung bukan sahaja menyukarkan urusan mereka untuk mendapat cop dan tandatangan malah menyebabkan kampung mereka terpinggir dari pembangunan serta bantuan.

Iklan
Iklan

"Mana ketua kampung kami? Kampung lain di Parlimen Teluk Intan sudah ada ketua kampung tapi kami di Kampung Selabak sampai hari ini tiada ketua kampung hingga ada yang mengeluh kerana perlu ke pejabat penghulu.

"Pejabat penghulu di pekan Teluk Intan, tak kasihan ke lihat orang tua bawa motor ke sana untuk dapatkan cop, belum lagi mereka yang hidup susah nak ke sana, ramai yang menyuarakan perkara ini," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Iklan

Menurutnya, berbagai-bagai spekulasi diceritakan penduduk kampung mengenai pelantikan ketua kampung hingga ada yang menyuarakan rasa kecewa dan berharap ia dapat diselesaikan segera.

"Sebelum ini kami ada dengar dah ada calon ketua kampung tapi bila pergi berjumpa nak ambil cop dan tandatangan dia cakap dia belum dapat watikah lantikan dan tidak boleh lakukan apa-apa.

Iklan

"Semua penduduk tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya hingga ada yang mengatakan bahawa lantikan ketua Kampung Selabak ditangguh kerana berlaku perebutan antara dua parti dalam PH. Apa semua ini? Yang jadi mangsa kami penduduk," katanya.

Seorang lagi penduduk, Zakaria Shafii, 50, berkata, perlantikan ketua Kampung Selabak perlu disegerakan kerana jumlah penduduknya ramai dengan majoritinya penduduk Melayu dan diikuti India serta Cina.

"Jumlah penduduk lebih 3,000 orang dan terdapat enam kampung kecil di bawah Kampung Selabak, jadi mengapa masih tiada ketua kampung dilantik hingga rakyat terpaksa bersusah-payah.

"Kami penduduk kampung tidak mahu mendengar sebarang alasan kerana kami rasa seperti dipinggirkan bila berlaku perkara begini hingga ada yang terkilan dan menyalahkan kerajaan," katanya.

Menurutnya, selain Kampung Selabak, pihaknya juga dimaklumkan Kampung Banjar di dalam Parlimen Teluk Intan tidak mempunyai ketua kampung.

"Bukan ketua kampung saja, penyelaras Dun Changkat Jong pun belum dilantik sedangkan PH sudah memerintah hampir sembilan bulan, itu pun tak dapat diselesaikan kerana bila tiada penyelaras dan ketua kampung macam mana kami nak berurusan jika ada masalah.

"Kami berharap segera selesaikan masalah lantikan ini kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat, mereka terpaksa bersusah payah hanya semata-mata nak dapatkan cop dan ada yang tak dapat bantuan kerana pihak atasan tak tahu sebab tak ada ketua kampung," katanya.

Zakaria berkata, pembangunan di kampung juga tidak dapat dilaksanakan seperti membaiki jalan rosak kerana ketiadaan ketua kampung untuk memaklumkan serta memohon kepada pihak atasan.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapat respons Exco Agama, Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi gagal apabila beliau tidak dapat dihubungi.